POLIS membuka kertas siasatan insiden pergaduhan yang tular di laman sosial Twitter akibat rasa tidak puas hati seorang wanita terhadap harga makanan di sebuah restoran nasi kandar di Bahau, Negeri Sembilan, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Hoo Chang Hook berkata kejadian kira-kira jam 1 pagi itu berlaku selepas juruwang restoran itu didakwa meninggikan suara kepada wanita terbabit yang mempertikaikan harga makanan sehingga menyebabkan anak lelakinya berasa berang dan membaling kotak tisu ke arah juruwang.
“Seorang pekerja yang melihat kejadian berkenaan terus menumbuk lelaki itu sebelum dileraikan pekerja lain dan pelanggan. Restoran mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi ia tidak berfungsi.
“Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Hoo turut menafikan dakwaan ada campur tangan polis dalam menyelesaikan kes itu dan mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Beliau meminta pelanggan dan orang awam yang berada dalam restoran itu tampil membantu siasatan selain turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi di laman sosial yang boleh mengganggu siasatan dan ketenteraman awam.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 1 minit 41 saat di Twitter memaparkan insiden pergaduhan di restoran itu. – Bernama, 6 Mei, 2022.
Komen