DEBAT yang dinanti-nantikan antara bekas perdana menteri Najib Razak dan ketua pembangkang Anwar Ibrahim kini akan berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) pada 12 Mei.
Sebelum ini debat itu diumum akan diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan bersama oleh pejabat Najib dan Anwar.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk memilih Matic Kuala Lumpur sebagai lokasi debat pada 12 Mei, pukul 9 malam.
“Perdebatan itu akan disiarkan secara langsung melalui saluran TV rasmi serta pelbagai saluran media yang akan diumumkan tidak lama lagi,” kata kenyataan itu.
Perdebatan itu akan meliputi tiga isu, masalah kewangan Sapura Energy Bhd, sama ada ia perlu diselamatkan, ekonomi, politik dan pentadbiran negara.
Sapura Energy, sebuah syarikat yang berkaitan dengan kerajaan, telah mengumumkan kerugian sebanyak RM8.9 bilion tahun lepas, yang dikatakan Najib adalah yang terbesar dalam sejarah untuk entiti sedemikian. Pada pandangannya kerajaan harus menyelamatkan syarikat itu.
Pembangkang berkata wang itu boleh digunakan untuk perkara yang lebih baik. – 6 Mei, 2022.
Komen