LIMA tahanan di sebuah pusat juvana di Trujillo di utara Peru maut dalam kebakaran susulan berlakunya rusuhan di situ.
“Setakat ini, kami boleh mengesahkan lima tahanan maut. Kami masih berada di lokasi kejadian.
“Berlaku rusuhan di sini, dan beberapa tahanan membakar tilam di satu bahagian dalam pusat tahanan ini, hingga menyebabkan kebakaran,” kata pegawai polis, Helber Ordonez.
Seramai 30 yang lain cedera dan dibawa ke hospital, kata pegawai bantuan kecemasan dan media tempatan. Ada mangsa dilihat dibawa menggunakan ambulans dan van.
Asap tebal dan api marak pada mulanya menyukarkan polis untuk memasuki bangunan itu, lapor media.
Bagaimanapun, tidak diketahui jumlah sebenar tahanan di Pusat Pemulihan dan Diagnosis Juvana di Trujillo itu yang terletak kira-kira 500km di utara Lima.
Beberapa tahun lalu, pengarah pusat itu berkata keadaan di pusat tahanan itu amat padat kerana ia dibina bagi menempatkan hanya 80 orang juvana. – AFP, 15 Februari, 2018.
Komen