AGENSI Jenayah Kebangsaan (NCA) UK mengumumkan pada Rabu pihaknya menahan ketua yang disyaki dalang operasi jenayah antarabangsa yang membekalkan bot-bot kecil kepada penyeludup manusia yang membawa pendatang merentasi Selat.
Jumlah pendatang yang merentas laluan perkapalan sibuk dari utara Perancis berada pada tahap rekod, mendorong tindakan keras UK, termasuk cadangan kontroversi untuk menghantar mereka yang tiba ke Rwanda.
NCA berkata pihaknya telah menangkap Hewa Rahimpur, berasal dari Iran, di tempat kerjanya di timur London, berikutan operasi bersama oleh agensi penguatkuasaan undang-undang UK dan Belgium.
Menurutnya Rahimpur, 29, dikehendaki di Belgium kerana disyaki menjadi dalang utama dalam rangkaian yang menurut pendakwa raya di sana terlibat dalam “membekalkan sejumlah besar bot kecil kepada penyeludup manusia”.
Ia menyiarkan rakaman ejen yang menggari lelaki itu ketika duduk di dalam kereta Mercedes hitam.
“Rahimpur dituduh sebagai dalang utama dalam apa yang kami akan katakan sebagai salah satu rangkaian jenayah paling penting yang terlibat dalam membekalkan bot kepada penyeludup orang,” kata timbalan pengarah siasatan NCA Jacque Beer dalam satu kenyataan.
“Kebanyakan kumpulan penjenayah yang terlibat dalam kegiatan ini berpangkalan di luar UK, tetapi apabila kami mendapati mereka mempunyai jejak UK, kami akan bertindak pantas untuk mematah dan membongkar kegiatan mereka.” – AFP, 6 Mei, 2022.
Komen