SEORANG pegawai polis di Uttar Pradesh, India ditahan selepas dituduh memperkosa seorang remaja perempuan 13 tahun yang membuat aduan dia dirogol beramai-ramai.
Menurut bapa remaja itu, anaknya dirogol bergilir-gilir oleh empat lelaki selama beberapa hari bulan lepas.
Remaja kasta Dalit itu kemudian diperkosa pula oleh seorang pegawai polis ketika membuat aduan di sebuah balai, kata sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi kaunseling kepada mangsa.
Pegawai itu ditahan hari ini bersama empat yang lain dan ibu saudara mangsa, yang dilaporkan berada di dalam balai polis ketika diperkosa.
Seramai 29 pegawai polis yang juga berada di balai ketika kejadian telah digantung tugas.
Kejadian terbaharu ini mencetus kemarahan orang ramai di media sosial India.
“Kalau balai polis sudah tidak selamat untuk wanita, jadi ke mana lagi kami harus pergi untuk buat laporan?”
“Sudahkan kerajaan Uttar Pradesh memikirkan untuk menambah bilangan pegawai polis wanita di balai polis bagi memastikan golongan wanita selamat?” kata ahli politik pembangkang Priyanka Gandhi Vadra di Twitter.
Data terkini menunjukkan secara purata seorang wanita dirogol dalam setiap 18 minit di India.
Undang-undang rogol di India dan garis panduan hukuman telah dirombak selepas seorang pelajar di New Delhi dirogol beramai-ramai pada 2012.
Kes rogol bagaimanapun masih tinggi, dengan lebih 28,000 kejadian dilaporkan pada 2020. – AFP, 5 Mei, 2022.
Komen