TikTok lancar program perkongsian hasil iklan bersama pencipta kandungan


Di bawah program TikTok Pulse baharu, syarikat boleh meletakkan iklan mereka di sebelah kandungan pengguna dalam kategori tertentu, termasuk kesihatan, fesyen, memasak, permainan dan lain-lain. – Gambar EPA, 5 Mei, 2022.

TIKTOK melancarkan program perkongsian hasil iklan dengan pencipta paling menonjol platform media sosial itu, mendekati model yang digunakan pesaingnya.

Penyedia platform video pendek itu semakin popular sejak kebelakangan ini dengan memiliki lebih satu bilion pengguna aktif di seluruh dunia.

Namun, ia dikritik kerana tidak menyediakan cara kepada pencipta untuk meraih pendapatan menerusi kandungan video pendek yang dimuat naik.

Di bawah program TikTok Pulse baharu, syarikat boleh meletakkan iklan mereka di sebelah kandungan pengguna dalam kategori tertentu, termasuk kesihatan, fesyen, memasak, permainan dan lain-lain – dan pencipta akan mendapat keuntungan.

“Kami akan mula meneroka program perkongsian hasil pengiklanan pertama kami dengan pencipta, tokoh masyarakat dan penerbit media,” menurut anak syarikat firma teknologi China ByteDance dalam satu kenyataan.

“Kami menumpukan kepada membangunkan penyelesaian pendapatan dalam pasaran yang tersedia supaya pencipta berasa dihargai dan diberi ganjaran di TikTok.”

Hanya akaun dengan sekurang-kurangnya 100,000 pelanggan akan layak untuk fasa pertama program itu, kata TikTok.

Pengurus Besarnya, Sandie Hawkins memberitahu portal teknologi The Verge, Pulse akan dilancarkan di Amerika Syarikat pada bulan Jun, dan pencipta yang diluluskan akan mendapat potongan 50% daripada hasil iklan.

Pada tahun 2021, TikTok menjana pendapatan anggaran 4.6 bilion dolar, menurut penerbitan industri Business of Apps.

Angka itu lebih dua kali ganda hasil tahun sebelumnya, tetapi kekal secara kasar setanding dengan pesaing Snapchat, yang mempunyai kira-kira 300 juta pengguna harian, menurut data Snapchat.

Rangkaian sosial utama lain yang memfokuskan pada video, seperti YouTube, Instagram dan Snapchat, telah pun melaksanakan sistem perkongsian hasil. – AFP, 5 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen