KEJATUHAN ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan dolar Singapura mungkin tidak akan memberi impak serta-merta ke atas golongan B40 dan M40, namun akan meningkatkan tekanan inflasi jika terus merosot, kata pakar ekonomi.
Penyusutan nilai ringgit juga akan menyebabkan kos barang barangan import naik dalam jangka pendek, tetapi ia bergantung kepada sama ada pengimport mengambil pendekatan untuk menyerap kos.
Tambah mereka, dari segi pengukuhan ringgit tidak banyak yang boleh kerajaan lakukan selain memastikan kestabilan politik dan keselamatan makanan.
Pakar ekonomi dari Universiti Malaya Dr Rajah Rasiah berkata golongan berpendapatan rendah tidak akan menerima kesan serta-merta akibat kemerosotan nilai ringgit.
“Kelemahan ringgit berbanding dolar AS tidak akan banyak menjejaskan kumpulan B40 dan M40, walaupun kita tahu jika situasi ini terus berlaku ia akan memberi kesan negatif susulan peningkatan kos import,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mengulas pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuatkuasa 1 Mei lalu, Rasiah berkata ia hanya akan memberi kesan kepada rakyat berpendapatan rendah daripada ekonomi formal, dan kumpulan ini katanya tidak cukup besar untuk mengurangkan inflasi.
Katanya, penyusutan nilai mata wang tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di semua negara Asia Tenggara yang sedang melalui proses pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19.
“Semua negara Asia Tenggara menghadapi sama ada stagflasi atau hampir inflasi akibat peningkatan inflasi dan kadar pengangguran dan, tetapi situasi ini lebih banyak disebabkan oleh kenaikan harga minyak dan gas serta kekurangan bekalan makanan,” ujarnya.
Dolar Singapura mencecah paras tertinggi sepanjang masa minggu lalu apabila didagangkan pada 3.1688 berbanding ringgit. Paras dolar Singapura tertinggi sebelum ini pada 31 Mac 2017 iaitu S$1bersamaan RM3.1650.
Sementara itu, nilai dolar AS didagangkan pada 4.35 berbanding ringgit.
Penyelidik dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Calvin Chen, berkata inflasi akan berlaku jika pengimport memilih untuk menyerap kos.
“Dalam jangka sederhana, ringgit yang lemah mungkin akan memberi kesan positif kepada sektor eksport melalui daya saing harga yang lebih tinggi bagi eksport Malaysia, yang seterusnya memberi kesan positif terhadap permintaan dan lebihan dagangan Malaysia,” kata Chen.
Beliau bagaimanapun berkata nilai ringgit mungkin akan kekal tidak menentu dalam tempoh beberapa bulan akan datang – lemah beberapa bulan berbanding dolar AS dan kembali mengukuh semula – jadi, ia mungkin hanya bersifat sementara.
Kelemahan nilai ringgit ditambah dengan dengan perang Rusia-Ukraine, kekurangan bekalan global dan harga barangan melambung tinggi juga menyebabkan lonjakan harga makanan di seluruh dunia.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan kos makanan akan meningkat lagi 22% akibat perang Rusia-Ukraine.
Menurut Rasiah, sekatan ekonomi ke atas Rusia oleh AS dan NATO hanya memburukkan lagi keadaan, menambah tekanan inflasi serta mengakibatkan kekurangan bekalan minyak biji bunga matahari dan minyak biji sesawi, serta menjejaskan eksport gandum dan baja. – 5 Mei, 2022.
Komen