AGENSI Jenayah Kebangsaan (NCA) United Kingdom (UK) menahan individu dipercayai ketua jenayah operasi antarabangsa yang membekalkan bot kepada penyeludup membawa pendatang asing menyeberangi Selat.
Jumlah pendatang menyeberangi laluan kapal yang sibuk dari utara Perancis semakin tinggi, mendorong UK bertindak keras termasuk cadangan kontroversi menghantar mereka ke Rwanda.
NCA berkata pihaknya berjaya menahan individu dipercayai “ketua bot kecil” Hewa Rahimpur, berasal dari Iran di tempat kerja di timur London dalam operasi bersama UK dan agensi penguasa undang-undang Belgium.
Menurut Timbalan Pengarah Penyiasat Jacque Beer, Rahimpur, 29, dikehendaki di Belgium kerana disyaki menjadi dalang utama dalam rangkaian dipercayai terbabit membekalkan sejumlah besar bot kecil kepada kegiatan penyeludupan manusia.
“Rahimpur didakwa menjadi pemain utama dalam rangkaian jenayah paling penting yang membekalkan bot kepada penyeludup.
“Kebanyakan geng penjenayah yang terbabit dalam aktiviti ini ini berpangkalan di luar UK, namun sebaik menjumpai jejak mereka di UK, kita akan bertindak dengan pantas untuk mengganggu dan membongkar mereka,” katanya.
Rahimpur didakwa membekalkan bot di Turki dan membawanya ke Jerman, Belgium dan Belanda.
Dia kemudian dipercayai mengarahkan ahli daripada organisasinya untuk membawa mereka ke pantai Selat di utara Perancis yang digunakan pendatang.
Suspek dijangka dibawa ke mahkamah di London, pada Jumaat bagi memulakan prosiding ekstradisi.
Menurut agensi UK, penahanan itu dibuat hasil kerjasama rapat antara NCA, pusat penyeludupan migran Europol dan rakan sejawatnya di Belgium. – AFP, 5 Mei, 2022.
Komen