2 subvarian Omicron cetus lonjakan kes Covid-19 di Afrika Selatan


Seorang petugas sukarelawan memakai PPE di pusat vaksinasi pandu lalu Covid-19 di Pretoria, Afrika Selatan. Pusat itu dibuka bagi menggalakkan orang ramai mendapatkan vaksin. – Gambar EPA, 5 Mei, 2022.

DUA subvarian baharu Omicron melonjakkan kes Covid-19 di Afrika Selatan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menekankan kepentingan ujian saringan untuk memantau mutasi dan penyebaran virus.

Varian Omicron sangat bermutasi dan sangat mudah berjangkit bagi Covid-19, yang pertama kali dikesan di selatan Afrika pada November tahun lalu kini merebak dengan cepat ke seluruh dunia, sekali gus menjadi varian dominan, merangkumi hampir semua kes baharu.

Omicron diketahui mempunyai beberapa sub-varian, dengan BA.2 yang paling dominan.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata saintis Afrika Selatan yang mula-mula mengenal pasti Omicron mengesan dua lagi sub-varian Omicron lain, BA.4 dan BA.5, sebagai punca peningkatan kes di negara itu.

Dalam laporan epidemiologi terbarunya, agensi kesihatan PBB itu berkata sub-garis keturunan memperoleh beberapa mutasi tambahan yang mungkin memberi kesan kepada ciri mereka.

Tedros berkata terlalu awal untuk mengetahui sama ada subvarian baharu ini boleh menyebabkan penyakit yang lebih teruk daripada subvarian Omicron yang lain.

Bagaimanapun katanya, data awal mencadangkan vaksinasi tetap melindungi daripada penyakit yang teruk dan kematian.

Dengan jumlah kes yang disahkan makmal hampir 3.8 juta dan lebih 100,000 kematian, Covid-19 melanda Afrika Selatan lebih teruk berbanding negara lain di benua itu.

Negara itu, di mana kurang 45% dewasa menerima dua suntikan vaksin Covid-19 menyaksikan penurunan kes mendadak dan buat pertama kali dalam tempoh hampir dua tahun, ia tidak merekodkan kematian selama dua hari pada Mac lalu.

Pada awal April, negara itu menarik balik semua sekatan Covid-19 tetapi sejak itu, kes meningkat semula, melonjak hampir 50% minggu lalu, menurut data WHO. – AFP, 5 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen