Apa berlaku kepada tanah Lapangan Terbang Seri Iskandar?


Raevathi Supramaniam

MB Perak Saarani Mohamad pada 30 Mac mengesahkan sebidang tanah yang sebelum ini dikenal pasti sebagai lokasi lapangan terbang baharu di Seri Iskandar bagi menggantikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, sudah dijual kepada syarikat swasta. – Gambar Facebook, 5 Mei, 2022.

PENJUALAN sebidang tanah yang diperuntukkan untuk pembangunan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, Perak, baru-baru ini menjadi tajuk utama berita selepas didedahkan dijual tanpa persetujuan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Mohd Zolkafly Harun pada 30 Mac lalu berkata, rancangan membina lapangan terbang itu yang melibatkan tujuh petak seluas kira-kira 478 hektar diluluskan mesyuarat exco kerajaan negeri pada 28 Februari, 2018.

Bagaimanapun, Zolkafly berkata 188.13 hektar daripada tanah yang diperuntukkan itu milik PKNP, dijual kepada pihak ketiga.

Pada 30 Mac lalu, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad mengesahkan sebidang tanah yang sebelum ini dikenal pasti sebagai lokasi lapangan terbang antarabangsa baharu di Seri Iskandar dijual kepada sebuah syarikat swasta.

Katanya, penjualan itu dijalankan kerajaan negeri sebelum ini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

The Malaysian Insight melihat butiran isu tersebut.

Siapa yang membeli tanah itu?

Menurut dokumen yang dilihat The Malaysian Insight, sekitar 3,000 ekar daripada 10,000 ekar tanah itu dijual kepada ECK Development pada 2018 dengan harga RM50,219,629.

ECK turut terpalit dengan satu lagi kontroversi membabitkan perjanjian usaha sama yang ditandatangani pada Ogos lalu dengan kerajaan negeri Kedah untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim menjelang 2026.

Menurut perjanjian itu, ECK akan memiliki 80% ekuiti dalam projek Kulim manakala kerajaan Kedah akan memiliki selebihnya melalui KXP AirportCity.

Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir bagaimanapun menuduh ECK mengarut dengan memeterai perjanjian perumahan walaupun tidak membayar satu sen pun projek itu.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata, ECK dijangka membelanjakan RM6 bilion dalam fasa pertama pembangunan itu termasuk RM2 bilion untuk pengambilan tanah.

Bagaimanapun, pada hari yang sama perjanjian usaha sama itu ditandatangani, ECK telah memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat hartanah untuk membangunkan kawasan perumahan di sebahagian daripada tanah yang diperoleh untuk projek itu.

ECK menafikan dakwaan tersebut.

Berbalik kepada perjanjian Perak, tanah yang dijual kepada ECK dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) sebagai sebahagian daripada usaha sama yang ditandatangani pada 1995.

PKNP memiliki 30% manakala MRCB memegang baki 70%.

PKNP menafikan sebarang pengetahuan berhubung penjualan tanah tersebut kepada ECK.

Menurut surat-menyurat antara MRCB dan PKNP bertarikh 31 Januari, 2019 tanah yang dijual kepada ECK akan digunakan untuk membina kawasan perindustrian yang terdiri daripada 10 lot.

Maklumat ini diberikan selepas mesyuarat antara naib presiden eksekutif MRCB Ishak Mohamed dan bekas pengerusi PKNP Ariff Yeop Ishak serta pengarah harta tanahnya pada 25 Januari, 2019 di pejabat PKNP di Ipoh.

Surat itu juga menunjukkan PKNP amat menyedari tanah itu diperuntukkan untuk pembangunan lapangan terbang baharu untuk Perak, dan ia membatalkan projek itu.

PNKP berkata perjanjian pembangunan yang ditandatanganinya dengan Perbadanan Pembangunan Seri Iskandar pada 21 Februari, 1997 juga dibatalkan. – 5 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen