Tahap toleransi rakyat Malaysia semakin merosot



BEBERAPA hari lagi masyarakat Tionghua akan menyambut Tahun Baru Cina. Dengan jujur, berbanding dengan tahun lalu, tahun ini saya akan menyambut ketibaan tahun yang baru dengan hati yang lebih berat dan tidak berapa gembira seperti tahun-tahun yang lalu.

Setahu kita, tahun baru yang akan datang merupakan tahun anjing. Dan bagi orang Islam, anjing merupakan binatang yang agak sensitif. Oleh itu, dalam masa menyambut ketibaan tahun anjing, sudah pasti wujudnya sedikit konflik antara budaya Tionghua dan amalan agama Islam.

Bulan lalu, sebuah kompleks membeli-belah di negeri Pulau Pinang dikatakan memindahkan dan mengeluarkan statut dan hiasan yang mempunyai corak dan bentuk seekor anjing. Alasan yang diberikan oleh badan pengurusan kompleks tersebut adalah ‘demi menjaga sensitiviti masyarakat majmuk kita dan keamanan negara kita’.

Selepas itu pula disebarkan kemeja-t di mana lukisan ataupun imej anjing dan khinzir tidak tercetak dalam baju Tahun Baru Cina. Seperti yang kita tahu, bagi masyarakat Cina, terdapat 12 binatang yang berbeza yang menjadi simbol bagi setiap tahun. 

Dalam baju tersebut, hanya 10 ekor binatang yang boleh dilihat dan 2 ekor binatang iaitu anjing dan khinzir digantikkan dengan perkataan Mandarin.

Apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah tahap toleransi dan saling menghormati antara kaum di negara tercinta ini makin lama makin merosot. Saya
ingin tanya kepada segelintir golongan yang ekstrim soalan ini: apa salahnya kalau orang Cina menyambut tahun anjing dan menghiasi rumah masing-masing dan pusat membeli-belah dipenuhi dengan hiasan anjing ataupun babi?

Saya tidak berhasrat menimbulkan ketidakselesaan antara orang bukan Cina. Mesej yang ingin saya kongsikan adalah kenapa masyarakat kita tidak bertoleransi dan terima perbezaan antara satu sama lain?

Harus kita ingat negara Malaysia ini merupakan sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk di mana orang Melayu dan Islam merupakan majoriti dan juga terdapat kaum lain yang merupakan anak-anak Malaysia. Masyarakat majmuk dan perbezaan antara kitalah yang merupakan aset kita dan identiti negara kita. Akan tetapi yang menyedihkan saya adalah tahap toleransi antara kita semakin merosot dan telah mencapai tahap yang membimbangkan.

Kita patut menghormati amalan agama dan budaya orang lain, walaupun mungkin berbeza daripada diri kita. Sebagai contoh, bagi orang bukan Islam, kita patut
menghormati amalan agama orang Islam yang menyambut bulan Ramadhan dan berpuasa, pada musim tersebut, kalau boleh kita wajar mengelakkan diri kita
daripada minum ataupun makan di depan orang Islam. Pada setiap hari Jumaat kita patut hormat dan sabar apabila memandu di atas jalan raya sesak kerana orang Islam wajib sembahyang di masjid.

Sama bagi orang bukan Hindu, contohnya pada 2 minggu lalu sempena Thaipusam, kita harus sabar dan memberi laluan kepada mereka yang menyambutnya di jalan raya mahupun di kuil-kuil.

Inilah yang merupakan aset dan kekuatan negara kita. Kita tidak wajar memaksa orang lain untuk menerima sesuatu. Sebagai contoh, kita tidak boleh paksa
seseorang vegetarian untuk makan daging. Perbezaan antara kita ini harus kita terima dan hormati, barulah negara kita boleh mara ke hadapan.

Sempena kita menyambut tahun baru ini, hasrat saya bagi tahun anjing 2018 adalah hubungan antara kaum kita tidak lagi merosot, malah masyarakat kita bolehlah menerima dan menghormati perbezaan antara kita, walaupun hasrat saya ini nampak sukar dicapai kerana pilihan raya yang akan datang akan dipenuhi dengan permainan isu perkauman dan agama.– 15 Februari, 2018. 


* Willie Ong ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen