BEIJING menutup berpuluh-puluh stesen kereta api bawah tanah pada Rabu, kerana sekatan Covid telah menyekat pergerakan rakyat di seluruh ibu kota China dengan populasi lebih 21 juta itu.
Ekonomi kedua terbesar dunia itu sedang bergelut dengan serangan koronavirus paling teruk, dengan kebanyakan kes ditemui di hab perniagaan Shanghai, di mana penduduk sebahagian besarnya terperangkap di rumah lebih sebulan.
Penduduk Beijing bimbang bandar mereka akan ditutup secara sedikit demi sedikit walaupun merekodkan cuma puluhan kes harian.
Pada Rabu, ibu negara China itu hanya merekodkan 51 jangkitan virus tempatan termasuk yang tidak bergejala, manakala Shanghai melaporkan hampir 5,000.
Kawasan perumahan dengan jangkitan yang dilaporkan telah pun dikenakan perintah berkurung, peraturan di tapak pelancongan telah diketatkan semasa cuti Mei yang biasanya sibuk, kerana warga Beijing mula menyimpan stok selepas bimbang akan diarahkan duduk di rumah.
Pusat Dagangan Dunia China - yang merangkumi pejabat dan kawasan membeli-belah - juga ditutup sementara minggu ini hingga Ahad bagi mengekang penularan virus.
Beijing Subway mengumumkan penutupan kira-kira 45 stesen pada Rabu - sekitar 14 peratus daripada rangkaiannya - kebanyakannya berhampiran kawasan yang dikenakan sekatan pergerakan, katanya melalui WeChat.
“Pintu masuk dan keluar stesen akan ditutup… tetapi pertukaran boleh dibuat di dalam stesen,” kata notis itu.
Selain Beijing, bandar Zhengzhou di tengah China juga meningkatkan kawalan bagi memerangi Covid, dengan penduduk di kawasan bandar utama kekal di kawasan perumahan mereka—melainkan yang berada di bawah langkah penutupan yang lebih ketat. – AFP, 4 Mei, 2022.
Komen