GARA-GARA panik kerana didakwa meminta ubatan berlebihan di sebuah klinik komuniti, seorang pengurus sumber manusia kerugian RM132,900 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Mohd Mahidisham Ishak berkata wanita bekerja di syarikat swasta itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan bertugas di Bahagian Pemeriksaan Bekalan Ubatan pada 18 April lalu.
“Mangsa diminta untuk mengesahkan sama ada pernah mengambil ubat-ubatan seperti panadol, ubat tahan sakit, ubat batuk dan ubat selesema secara berlebihan di sebuah klinik komuniti.
“Mangsa menafikan dakwaan itu namun panggilan kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki lain menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan mangsa juga mempunyai rekod jenayah pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Mahidisham berkata, mangsa berusia 47 tahun itu juga ditakutkan sekiranya tidak mengaku salah, waran tangkap akan dikeluarkan.
Katanya, panik dengan ugutan itu, mangsa membuat pindahan wang sebanyak lima kali ke dalam akaun yang sama bermula 22 hingga 26 April berjumlah keseluruhan RM132,900.
Beliau berkata, suspek juga meminta mangsa menunggu keputusan siasatan dan pada 30 April lalu, mangsa menerima panggilan telefon dan diminta untuk membuat bayaran tambahan.
“Berasakan dirinya tertipu, mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama (30 April) dan suspek kini sedang dikesan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak akaun bank atau nombor telefon diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule dan untuk laporan sebarang jenayah ataupun aktiviti mencurigakan supaya menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau balai polis berdekatan. – Bernama, 3 Mei, 2022.
Komen