Bekalan air disambung semula bagi kawasan terjejas, kata MB Selangor


Elill Easwaran

472 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air susulan pencemaran bau di muka sauk stesen pam air mentah Jenderam Hilir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2022.

OPERASI di loji rawatan air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi disambung semula setakat jam 3.30 petang dengan isi rumah yang terjejas boleh mendapatkan bekalan air mereka selewat-lewatnya malam ini, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Ia selepas 472 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air susulan pencemaran bau dikesan di muka sauk stesen pam air mentah Jenderam Hilir.

Amirudin berkata, isu pencemaran sudah diselesaikan.

“Ini berlaku selepas tiga bacaan 0 TON direkodkan dan pencemaran itu berjaya diselesaikan,” tulisnya dalam ciapan di akaun Twitter.

Katanya, bekalan air dijangka disalurkan secara berperingkat mulai malam ini.

Menurutnya, ini kejadian ketiga pencemaran di tempat yang sama minggu ini.

The Malaysian Insight menghubungi Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan sedang menunggu maklum balas untuk mengetahui sama ada insiden itu satu sabotaj.

Awal hari ini Air Selangor mengumumkan operasi di loji rawatan air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan buat sementara waktu berikutan pencemaran bau.

Lima kawasan – Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 3 petang.

Pengguna amat tidak berpuas hati apabila dimaklumkan mengenai gangguan bekalan air semasa musim perayaan Hari Raya.

Cindy Wong mengulas posting di Facebook Air Selangor dia lebih suka berpindah ke tempat yang tidak menggunakan Sungai Semenyih sebagai punca bekalan air.

Seorang lagi pengguna Shahrul Azmi berkata, pekerja Air Selangor yang bercuti harus kembali bekerja, kerana ia masa yang penting merujuk kepada Hari Raya Aidilfitri.

Pengguna Muhd ​​Hafiz berasa kecewa kerana pencemaran di loji rawatan air berlaku hampir setiap minggu namun tiada penyelesaian dilakukan. – 3 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen