MAHKAMAH Agung Amerika Syarikat dijangka akan menghapuskan hak untuk menggugurkan kandungan di negara itu, menurut draf keputusan majoritinya yang bocor.
Keputusan itu akan membatalkan perlindungan dalam perlembagaan yang termaktub sejak hampir 50 tahun lalu.
Draf keputusan itu, yang dilapor oleh portal berita Politico, ditulis oleh hakim Samuel Alito dan beredar dalam kalangan petugas mahkamah yang dikuasai kumpulan konservatif.
Draf penghakiman 98 muka surat itu menyifatkan keputusan dalam kes terkenal Roe v Wade pada 1973, yang memberikan hak untuk menggugurkan kandungan, “betul-betul tersilap sejak awal.”
“Kami memutuskan bahawa Roe dan Casey (satu kes lain pada 1992) mesti ditolak,” tulis Alito dalam penghakimannnya, yang turut disiarkan oleh Politico.
“Ini masanya untuk mempertahankan perlembagaan dan mengembalikan isu pengguguran kandungan kepada wakil rakyat.”
Dalam Roe v Wade, mahkamah yang sama memutuskan pengguguran kandungan adalah hak wanita yang dilindungi perlembagaan.
Pada 1992, dalam kes Planned Parenthood v Casey, mahkamah menjamin hak itu sehingga janin kelihatan di luar rahim, iaitu lebih kurang antara 22 hingga 24 minggu kandungan.
“Rumusan yang tidak dapat dinafikan lagi ialah hak untuk menggugurkan kandungan tidak terikat pada sejarah dan tradisi bangsa,” tulis Alito.
Hak berkenaan digugat sejak beberapa bulan lepas susulan keputusan beberapa negeri memperketatkan syaratnya termasuk sesetengah negeri yang mahu mengharamkannya selepas kandungan mencapai usia enam minggu, iaitu sebelum kebanyakan wanita tahu mereka mengandung.
Ahli politik berhaluan kanan mempertikaikan hak itu sementara Demokrat yang diketuai Presiden Joe Biden berusaha mempertahankannya.
Pada Disember, selepas mendengar hujahan lisan berhubung undang-undnag di Mississippi yang mengharamkan pengguguran kandungan selepas 15 minggu, Mahkamah Agung membayangkan akan mempertahankan undang-undang itu malah akan menolak duluan Roe v Wade.
Sembilan hakim, yang dikuasai kumpulan konservatif selepas pelantikan tiga hakim oleh bekas presiden Donald Trump, dijangka memberikan keputusan mereka dalam kes Mississippi itu menjelang Jun.
Menurut Politio, empat hakim bersetuju dengan penghakiman Alito yang menulis draf pertama keputusan majoriti.
Tiga lagi hakim yang berpandangan liberal menulis keputusan yang menentang sementara seorang lagi tidak dapat dipastikan pendiriannya.
Politico menegaskan dokumen yang diperolehinya adalah draf dan hakim biasa mengubah pandangan mereka sebelum memberikan keputusan yang muktamad. – AFP, 3 Mei, 2022.
Komen