Anak Marcos dijangka menang pilihan raya presiden Filipina minggu depan


Tinjauan menunjukkan Ferdinand Marcos Jr atau dikenali dengan panggilan Bongbong akan menang besar pada pilihan raya presiden 9 Mei ini. – Gambar EPA, 3 Mei, 2022.

FERDINAND Marcos Jr, anak kepada pemimpin diktator yang sama nama yang menjarah kekayaan Filipina dan mencabul hak asasi rakyatnya, dijangka akan memenangi pemilihan presiden minggu depan selepas berpuluh-puluh tahun berusaha membersihkan nama keluarga.

Tinjauan sokongan dalam kalangan pengundi menunjukkan Marcos Jr atau dikenali dengan panggilan Bongbong akan menang besar pada pilihan raya presiden 9 Mei ini, didorong kempen di media sosial yang mendapat tajaan besar yang didakwa oleh pengkritiknya satu usaha menulis semula sejarah.

Dalam tempoh 36 tahun sejak kebangkitan rakyat menjatuhkan Marcos dan mengusir keluarga itu hidup dalam buangan di Amerika Syarikat, nama keluarga itu membuat kejutan muncul semula dalam politik.

Marcor Jr, 64, satu-satunya yang paling ke depan apabila kalah tipis pemilihan naib presiden kepada Leni Robredo pada pilihan raya 2016 yang mengangkat Rodrigo Duterte sebagai presiden.

Kini, Marcos Jr jadi calon utama pengganti Duterte, bersaing sekali lagi dengan Robredo.

Marcos yang berikrar mahu menyatukan negara berjanji mahu meningkatkan peluang pekerjaan dan menangani isu kenaikan harga barang sebagai antara jalan keluar daripada pandemik.

“Penyatuan adalah perjuangan saya kerana saya sangat percaya bersatu adalah langkah pertama untuk kita keluar daripada krisis yang sedang dihadapi,” katanya, berucap melancarkan kempennya pada Februari.

Marcos Jr yang membesar di istana presiden di Manila pernah bercita-cita mahu jadi angkasawan sebelum akhirnya mengikut jejak langkah ayahnya jadi ahli politik.

Beliau berkhidmat sebagai naib gabenor dan dua kali memegang jawatan gabenor di wilayah Ilocos Norte di utara Filipina yang merupakan kubu kuat keluarga Marcos. Beliau juga pernah menjadi anggota dewan rakyat dan senat.

Ibunya Imelda, 92, pernah berkata beliau berharap anaknya suatu hari akan memimpin Filipina. Marcos Jr memberitahu CNN Filipina, beliau merujuk ibunya mengenai hasrat bertanding pilihan raya presiden tetapi keputusan menyertai pilihan raya itu adalah keputusannya sendiri.

Hubungan Marcos Jr dengan ayahnya, terutama sekali penindasan berdarah semasa pelaksanaan undang-undang darurat, menjadikannya antara ahli politik yang disukai tetapi pada masa sama dibenci.

Namun beliau mengaut untung besar daripada berita palsu dan hantaran yang mengelirukan di media sosial yang ditujukan kepada kumpulan besar pengundi muda yang tidak melalui era korupsi, pembunuhan dan segala macam salah guna kuasa sepanjang 20 tahun pemerintahan bapanya.

Marcos Jr menafikan beliau menggunakan troll di media sosial.

Kempennya juga diperkuatkan dengan pilihannya berganding dengan Sara Duterte sebagai calon naib presiden regunya yang mendapat dukungan keluarga-keluarga elit yang berkuasa dalam demokrasi yang korup dan feudal.

Ferdinand Marcos Jr pernah bercita-cita mahu jadi angkasawan sebelum akhirnya mengikut jejak langkah ayahnya jadi ahli politik. – Gambar EPA, 3 Mei, 2022.

Belum menang lagi

Marcos Jr bersekolah asrama di Britain pada 1972 ketika ayahnya mengisytiharkan darurat dan seterusnya melakukan penyelewengan besar-besaran dan memerangi penentangnya sehingga menumpahkan darah.

Beliau mempertahankan pemerintahan ayahnya. Beliau menyebut tentang pertumbuhan ekonomi dan perbelanjaan kerajaan semasa darurat, yang katanya perlu untuk menyelamatkan negara daripada komunis dan pejuang Islam.

Beliau malah menggambarkan ayahnya sebagai “genius politik”. Namun Marcos Jr menjarakkan diri daripada dakwaan mengenai kekayaan negara yang dirompak dan salah urus ekonomi semasa rejim ayahnya yang kemudian menyebabkan Filipina jatuh miskin.

Selepas Marcos meninggal dunia di Hawaii pada 1989, keluarganya pulang ke tanah air dan bertatih bangkit semula dengan mendapat sokongan rakyat yang setia untuk memegang jawatan penting.

Anak lelaki sulung Marcos Jr dengan isterinya Louise – seorang peguam daripada sebuah lagi keluarga berpengaruh – bertanding untuk pertama kali dalam pilihan raya ini untuk merebut satu daripada dua kerusi dewan rakyat di Ilocos Norte.

Keluarga Marcos kembali popular selepas rakyat putus asa dengan jurang yang luas antara miskin dan kaya dan pelbagai tuduhan rasuah yang mencemari pentadbiran selepas era Marcos.

Marcos Jr setakat ini mengelak berdebat dengan lawannya dan tidak memberi banyak wawancara kepada media untuk mengelak masalah semasa kempennya pada 2016 ketika beliau dihujani soalan tentang masa silam keluarganya.

Penunjuk perasaan berpiket di Biro Hasil Dalam Negeri menggesa kutipan segera cukai yang terhutang oleh waris mendiang presiden Ferdinand Marcos, di Quezon City, Metro Manila, Filipina 31 Mac 2022. Mereka memberi amaran pencalonan presiden anaknya Ferdinand 'Bongbong' Marcos Jr, adalah helah untuk mengelak membayar cukai harta pusaka bernilai kira-kira 23 bilion peso (397 juta euro). – Gambar EPA, 3 Mei, 2022.

Beliau juga jelas nampak kekok dan tidak selesa apabila diwawancara.

Lawannya cuba untuk menyingkirnya daripada pemilihan dengan membangkitkan sabitannya sebelum ini terhadap tuduhan gagal membayar cukai, tetapi gagal.

Mereka juga menuduh beliau menipu kelayakan akademiknya serta mempersoalkan kegagalan keluarganya membayar cukai hampir AS$4 bilion.

Duterte sebelum ini penyokong Marcos Jr dan berterima kasih dengan sokongan keluarga itu membantunya menang pemilihan presiden.

Partinya juga menyokong Marcos Jr tetapi Duterte baru-baru ini menyifatkannya pemimpin yang “lemah”.

Ini mencetuskan spekulasi Duterte, yang berhadapan siasatan antarabangsa berhubung perangnya terhadap dadah yang membunuh ratusan orang, cuba mendapat jaminan daripada Marcos Jr selepas tamat tempoh jawatan nanti.

Biarpun selesa mendahului Robredo dalam tinjauan pendapat, Marcos Jr memberitahu CNN Filipina beliau hanya mahu fokus pada kempen.

“Saya belum lagi yakin akan jadi presiden walau apa pun yang ditunjukkan oleh tinjauan itu,” katanya. “Kita belum menang lagi.” – AFP, 3 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen