China beri amaran terhadap Trump, sekatan perdagangan ancam ekonomi global


Washington telah pun mengenakan pelbagai tarif terhadap barangan buatan China, yang sekali gus menimbulkan kegelisahan perang perdagangan antara dua kuasa besar dunia itu, apatah lagi apabila China turut mengancam untuk mengambil tindakan. – Gambar AFP, 14 Februari, 2018.

BEIJING hari ini memberi amaran bahawa sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat akan menggugat kestabilan ekonomi dunia.

Amaran itu dikeluarkan selepas Presiden AS Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif baharu terhadap import dari China.

Trump berkata beliau telah “memikirkan pelbagai pilihan,” termasuk tarif dan quota, setelah beliau menuduh China menjahanamkan industri besi dan aluminium Amerika.

Washington telah pun mengenakan pelbagai tarif terhadap barangan buatan China, yang sekali gus menimbulkan kegelisahan perang perdagangan antara dua kuasa besar dunia itu, apatah lagi apabila China turut mengancam untuk mengambil tindakan.

Jurucakap kementerian luar Geng Shuang memberitahu pemberita bahawa “sebarang petanda unilateralisme atau perlindungan akan… memburukkan isu perdagangan global selain menggugat momentum ekonomi dunia yang sedang pulih.”

Tambahnya, dengan jumlah dagangan besar dan integrasi ekonomi antara AS dan China, ada bahagian yang masih natural.

Bagaimanapun, “China akan menganggap AS sebagai rakan kongsi penting dalam perdagangan dan ekonomi, selain kami berharap yang kami akan saling memperbesarkan pasaran,” kata Geng.

Pentadbiran Trump diberi masa dua bulan untuk menentukan sama ada mengambil tindakan terhadap sikap China berhubung industri besi, aluminium dan juga harta intelek.

China menghasilkan lebih kurang setengah keperluan besi untuk dunia namun acap kali dituduh menggunakan besi murah di pasaran global atas tujuan untuk mendapatkan pegangan pasaran.

Dua negara itu telah pun mula saling menyekat perdagangan, yang mana kementerian perdagangan China memberi amaran kesannya akan mengakibatkan “lingkaran ganas.” – AFP, 14 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen