SEKURANG-kurangnya 19 orang pendatang asing terbunuh manakala lebih 100 lagi dilaporkan cedera setelah lori yang membawa mereka terbabit dalam kemalangan di Libya, kata pihak hospital.
Lebih 300 pendatang asing, kebanyakannya warganegara Eritrean dan Somalia, menaiki lori berkenaan yang terbalik berhampiran bandar Bani Walid.
Seorang kanak-kanak merupakan antara 19 pendatang asing yang maut dalam kemalangan itu, kata pengarah hospital di bandar itu, Salah al-Mabrouk kepada AFP.
Hospital berkenaan, yang sebelum ini melaporkan jumlah kematian 23 orang berkata, sekurang-kurangnya 124 pendatang asing cedera yang menyebabkan sukar untuk ditangani kerana kesesakan di hospital berkenaan.
“Beberapa mangsa terpaksa dirawat di atas tanah,” kata jurucakap Salah al-Twijer.
Sejak penggulingan diktator Muammar Gaddafi, Libya dilanda huru-hara menjadikan negara itu sebagai laluan utama kepada pendatang asing yang ingin memasuki Eropah, kebanyakannya melalui laut dengan menaiki kapal yang tidak sesuai untuk berlayar.
Bani Walid, yang terletak di pinggir padang pasir, 170 kilometer dari tenggara ibu negaranya, Tripoli, merupakan pusat transit kepada pendatang asing yang menuju ke perairan Mediterranean.– AFP, 14 Februari, 2018.
Komen