Raja Moroco ampunkan 29 banduan jenayah keganasan


958 orang banduan dengan pelbagai kesalahan jenayah menerima pengampunan Raja Mohammed VI bagi meraikan Aidilfitri dan berakhirnya Ramadan tahun ini. – Gambar AFP, 2 Mei, 2022.

RAJA Moroco mengampunkan 29 banduan yang dipenjara kerana jenayah “keganasan atau ekstremis” sempena berakhirnya Ramadan, kata Kementerian Keadilan.

29 banduan itu diampunkan “selepas secara rasmi meluahkan kesetiaan kepada kesucian negara dan institusi nasional, mengubah orientasi ideologi mereka dan menolak ekstremis dan keganasan”, kata kementerian dalam satu kenyatan dikeluarkan lewat malam Ahad.

Daripada yang diampunkan itu, 23 orang akan dibebaskan manakala enam orang lagi akan dikurangkan tempoh hukuman.

Mereka adalah sebahagian daripada 958 orang banduan dengan pelbagai kesalahan jenayah menerima pengampunan Raja Mohammed VI bagi meraikan Aidilfitri dan berakhirnya Ramadan.

Pada 2017, negara Afrika Utara itu melancarkan program integrasi semula dikenali sebagai “Moussalaha” di penjaranya, mensasarkan banduan jenayah keganasan yang bersedia untuk mempersoalkan kepercayaan mereka.

Sejak 2022, perkhidmatan keselamatan memusnahkan lebih 2,000 sarang pengganas dan menahan lebih 3,500 orang dikaitkan dengan keganasan, menurut data rasmi.

Negara itu jarang berdepan serangan pengganas, kali terakhir pada 2003, apabila lima pengebom bunuh diri menyerang dan membunuh 33 orang dan mencederakan berpuluh yang lain di Casablanca.

Tetapi pada 2018, dua orang pelancong Eropah dibunuh pengganas dikaitkan dengan Kumpulan Negara Islam ketika melakukan pendakian di kawasan pergunungan negara itu. – AFP, 2 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen