Rusia tiada pelan henti ceroboh Ukraine pada 9 Mei


9 Mei adalah sambutan Hari Kejayaan di Rusia, perayaan meraikan kemenangan melawan fasisme di Eropah pada Perang Dunia Kedua. – Gambar AFP, 2 Mei, 2022.

RUSIA tidak merancang menghentikan pencerobohan di Ukraine pada Hari Kejayaan disambut pada 9 Mei ini, kata menteri luarnya, ketika negara itu sedang bersiap sedia menyambut perayaan utamanya ketika perang masih bergolak.

Bercakap dengan media Itali, Mediaset, Sergei Lavrov menegaskan yang Moscow tidak terburu-buru untuk menamatkan “operasi khas ketenteraan” pada masa sambutan, perayaan untuk meraikan kekalahan Nazi Jerman kepada tentera bersekutu -termasuk Kesatuan Soviet- pada 1945.

“Tentera kami tidak akan mengubah tindakan mengikut hari tertentu termasuk Hari Kejayaan,” kata Lavrov dalam wawancara dikeluarkan pada Ahad.

“Gerak kerja operasi di Ukraine bergantung, pertama sekali, kepada keperluan meminimumkan sebarang risiko kepada populasi awam dan anggota tentera Rusia,” tambahnya.

Rusia selalunya menyambut Hari Kejayaan dengan penuh meriah, dengan perarakan besar-besaran tentera di tengah Moscow dan perutusan Presiden Vladimir Putin bagi meraikan peranan utama mereka mengalahkan fasisme di Eropah.

Tetapi sambutan tahun ini berlaku ketika Moscow melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine, dengan Putin memberikan alasan negara bekas Soviet itu memerlukan “denazifikasi” dan pelbagai lagi sebab berkaitan dengan Perang Dunia Kedua.

Ribuan penduduk awam terbunuh dan berjuta lagi melarikan diri sejak pencerobohan Rusia bermula pada 24 Februari lepas.

Moscow berkata lebih seribu anggota tenteranya terbunuh dalam konflik itu, walaupun Ukraine mendakwa jumlah itu jauh lebih tinggi. – AFP, 2 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen