8 maut dalam kebakaran setinggan di Manila


LAPAN orang maut termasuk enam kanak-kanak apabila kebakaran tercetus di kawasan kejiranan miskin di Manila, Filipina, hari ini yang memusnahkan 80 buah rumah, kata pegawai kebakaran.

Tiga orang lagi cedera dalam kebakaran yang bermula sekitar jam 5:00 pagi itu di tingkat dua sebuah rumah yang sesak, di kawasan setinggan di sekitar kampus Universiti Filipina.

Bomba mengambil masa dua jam untuk memadam kebakaran, kata Pegawai Kanan Bomba Greg Bichayda kepada AFP.

Siasatan punca kebakaran masih dijalankan.

Kesemua mangsa terperangkap di dalam rumah mereka kerana “api merebak terlalu pantas”, kata Bichayda.

Umur mangsa juga belum dapat dikenal pasti, tetapi enam daripadanya disahkan sebagai bawah umur.

“Rumah dibina menggunakan bahan mudah terbakar. Apabila kebakaran berlaku, orang ramai terkejut,” kata Bichayda.

“Stesyen kami terletak berhampiran tetapi mereka tidak dapat menghubungi kami serta merta.”

Lebih 13 juta orang tinggal di kawasan penuh sesak di Manila, dengan puluhan ribu menetap di kawasan setinggan yang sering berlaku kebakaran.

Ramai penduduk berhijrah ke Manila untuk mencari pekerjaan dan melarikan diri dari wilayah asal mereka yang jauh lebih miskin. – AFP, 2 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen