LAPAN orang awam maut pada Ahad berikutan serangan Rusia di Donetsk dan Kharkiv, kata gabenor wilayah itu, ketika tentera Moscow bergerak lebih dalam ke timur Ukraine.
Kematian terjadi apabila tentera Rusia menumpukan semula usahanya di timur Ukraine, terutamanya wilayah Donbas, yang menggabungkan Donetsk dan Lugansk.
Empat terbunuh dalam tembakan di bandar Lyman di Donetsk, kata gabenor wilayah itu.
“Pada 1 Mei, empat orang awam terbunuh dalam tembakan Rusia di wilayah Donetsk, semuanya di Lyman. Sebelas orang lagi cedera,” kata gabenor Pavlo Kyrylenko di Telegram.
Seorang lagi meninggal dunia selepas cedera parah di sebuah bandar berhampiran Lyman, tambahnya.
Lyman, bekas hab kereta api yang dikenali sebagai “bandar merah” untuk perindustrian bata merahnya, dijangka menjadi salah satu kawasan yang akan jatuh ke tangan tentera Rusia selepas tentera Ukraine berundur.
Sepanjang 24 jam lalu, tentera Rusia telah mara di sekitar bandar itu, kata pasukan AFP di kawasan itu.
Tiga orang lagi terbunuh dalam serangan di kawasan perumahan di dalam dan sekitar Kharkiv, bandar kedua Ukraine, kata gabenor wilayah Oleg Synegubov di Telegram.
“Akibat daripada tembakan ini, malangnya, tiga orang terbunuh dan lapan orang awam cedera.”
Tentera Ukraine juga telah berundur dari Kharkiv, tenteranya kini dalam kedudukan terpencil, menurut wartawan AFP.
Presiden Volodymyr Zelensky baru-baru ini mengakui keadaan “sukar” di Donbas. – AFP, 2 Mei, 2022.
Komen