DENMARK dan Sweden memanggil duta Rusia selepas pesawat pengintip Rusia menceroboh ruang udara kedua-dua negara, kata kerajaan mereka Ahad.
Pegawai berkata pesawat itu memasuki ruang udara Denmark pada petang Jumaat di timur pulau Bornholm sebelum terbang ke ruang udara Sweden.
“Duta Rusia dipanggil ke kementerian luar negeri esok,” kata Menteri Luar Denmark Jeppe Kofod pada Ahad, merujuk kepada “pelanggaran baru Rusia terhadap ruang udara Denmark”.
Kementerian luar Sweden juga berkata duta Rusia akan dipanggil di Stockholm.
“Terdapat prosedur yang ditetapkan untuk kes seperti ini. Ia melibatkan pemanggilan wakil negara terbabit ke kementerian luar,” katanya.
Tambah Kofod ia “sama sekali tidak boleh diterima, membimbangkan dalam situasi semasa”, merujuk kepada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan ketegangan yang meningkat dengan Nato, di mana Denmark merupakan ahli.
Henrik Mortensen, pegawai akhbar Komando Pertahanan Denmark, memberitahu AFP pada Ahad mengenai kejadian itu.
“Ia adalah pesawat peninjau yang berada di ruang udara kami untuk seketika. Dua F-16 Denmark serta-merta campur tangan,” kata Mortensen, menambah kejadian seperti itu jarang berlaku.
Denmark merupakan ahli Nato, tidak seperti Sweden di mana perdebatan sedang berlangsung sama ada ia harus meninggalkan status tidak bersekutu dan menyertai perikatan itu.
Menteri pertahanan Sweden berkata tidak ada bukti pelanggaran itu dikaitkan dengan perbincangan semasa mengenai Stockholm menyertai Nato.
Rusia telah pun memberi isyarat yang Stockholm dan Helsinki, yang juga sedang mempertimbangkan untuk menjadi ahli, harus mempertimbangkan akibat tindakan sedemikian terhadap hubungan dua hala dan keselamatan keseluruhan Eropah. – AFP, 2 Mei, 2022.
Komen