“KAMI dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri dalam suasana aman hari ini,” kata Fakhrudin, seorang penduduk Kabul berusia 35 tahun.
Afghanistan yang dilanda perang di bawah pentadbiran Taliban merayakan Aidilfitri pada Ahad, yang menandakan berakhirnya bulan puasa Ramadan.
Menurut Agensi Berita Xinhua, meskipun tiada insiden keselamatan dilaporkan di seluruh negara itu setakat hari ini, warga Afghanistan menyambut Hari Raya Aidilfitri di tengah-tengah harapan dan kekecewaan kerana anggota keselamatan melaksanakan langkah keselamatan yang ketat di sekitar semua masjid di Kabul dan bandar-bandar lain.
Jurucakap polis Kabul Khalid Zadran memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pengaturan keselamatan adalah ketat bagi membolehkan solat Aidilfitri dilakukan dalam persekitaran yang aman.
“Kami telah mengalami peperangan dan kesengsaraan sejak 40 tahun lalu. Kami memerlukan keamanan, kebahagiaan dan kemakmuran untuk melupakan kehancuran lalu,” kata Fakhrudin kepada Xinhua di luar masjid tempat beliau menunaikan solat.
Beberapa bandar Afghanistan, termasuk ibu kota Kabul, baru-baru ini mengalami serangan maut oleh pengganas, malah berlaku letupan di dalam masjid yang meragut puluhan nyawa.
Pada Jumaat, satu letupan berlaku di sebuah masjid di Kabul, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan berpuluh-puluh jemaah yang lain.
Berikutan pengunduran tentera yang diketuai AS dan pengambilalihan Taliban ke atas Afghanistan, perang hampir berakhir di negara itu, yang disambut baik secara meluas oleh rakyat Afghanistan.
“Hari ini adalah hari yang menggembirakan bagi semua umat Islam, dan saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh dunia dan juga berdoa agar keamanan kembali dan keselamatan yang berkekalan buat negara kita Afghanistan,” kata Nawedullah Afzali kepada Xinhua.
Afzali, 40, yang datang dari wilayah Badakhshan utara untuk menunaikan solat Aidilfitri di masjid bersejarah Shah-e-Doshamshira di Kabul, menyatakan kebenciannya terhadap peperangan.
“Saya ingin melihat kita rakyat Afghanistan bersatu dan menghentikan pertumpahan darah,” kata Afzali.
Imam masjid dalam khutbah mereka berdoa untuk kembalinya keamanan dan kemajuan negara, selain menyeru rakyat Afghanistan dari semua lapisan masyarakat untuk bersatu dan membantu membina semula Afghanistan bangkit daripada peperangan.– Bernama, 1 Mei, 2022.
Komen