POLIS China mengumumkan penahanan sembilan individu hari ini berkait tragedi bangunan runtuh Jumaat lalu, ketika pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus mencari mangsa yang masih terselamat.
Bangunan di bandar Changsha itu menempatkan sebuah hotel, pangsapuri dan pawagam. Ia runtuh pada petang Jumaat.
Sekurang-kurangnya 18 orang terperangkap manakala 39 lagi tidak dapat dihubungi, menurut Datuk Bandar Zheng Jianxin.
Lima orang berjaya diselamatkan dari struktur bangunan tersebut pada Jumaat.
Polis Changsha dalam hantaran di media sosial berkata pemilik bangunan dan tiga lagi yang bertanggungjawab untuk reka bentuk dan pembinaannya telah ditahan hari ini kerana disyaki menjadi “tanggungjawab utama kepada kemalangan itu”.
Lima orang lagi, ahli firma pemeriksaan bangunan persendirian, “menyediakan laporan keselamatan palsu selepas menjalankan audit keselamatan bangunan hotel”, kata kenyataan di Weibo.
Buat masa ini tiada maklumat lanjut berhubung kejadian itu diberikan pihak berkuasa.
Datuk Bandar Changsha berikrar untuk “mengambil masa 72 jam untuk menyelamatkan dan mencuba yang terbaik untuk mencari mangsa yang terperangkap” dalam taklimat berita pada hari Sabtu, sambil menambah lebih 700 anggota penyelamat pantas dihantar ke tempat kejadian.
Media kerajaan menunjukkan anggota bomba – disokong penggali – memotong logam dan kepingan konkrit, manakala penyelamat menjerit ke menara serpihan untuk berkomunikasi dengan mana-mana mangsa yang terselamat.
Orang ramai berkumpul ketika pasukan penyelamat mengalihkan kepingan bata dengan tangan, membolehkan pakar melihat lebih dalam ke dalam serpihan. – AFP, 1 Mei, 2022.
Komen