PBB kutuk serangan bom ke atas masjid di Afghanistan


Sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam letupan bom di ibu negara Afghanistan yang memusnahkan sebuah masjid. – Gambar EPA, 1 Mei, 2022.

SETIAUSHAA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam menyelar letupan bom di ibu negara Afghanistan yang memusnahkan sebuah masjid dan mengorbankan sekurang-kurangnya 10 jemaah.

“Setiausaha agung mengutuk sekeras-kerasnya serangan maut semalam ke atas Masjid Khalifa Sahid di Kabul barat semasa solat Jumaat.

“Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka yang cedera dapat pulih segera. Serangan terhadap orang awam dan infrastruktur termasuk masjid dilarang sama sekali di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata jurucakap Antonio Gutterres dalam satu kenyataan.

Letupan bom itu menyasarkan komuniti minoriti Sufi yang sedang menyertai upacara keagamaan selepas selesai solat Jumaat, kata seorang pegawai.

Imej mengerikan letupan yang disiarkan di media sosial menunjukkan mangsa yang terselamat berlari keluar dari masjid dengan beberapa orang membawa mangsa termasuk kanak-kanak. Tompok darah kelihatan di lantai pekarangan masjid.

Jurucakap kementerian dalam negeri Abdul Nafi Takor berkata sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala polis Kabul berkata 30 lagi cedera.

Pengeboman itu adalah yang terbaru dalam gelombang serangan yang menggegarkan Afghanistan semasa bulan Ramadan.

Berpuluh-puluh orang awam terbunuh dalam serangan menyasarkan golongan Syiah dan Sufi yang sebahagian besarnya diakui dilakukan oleh Daesh.

Letupan pada Jumaat berlaku sehari selepas dua bom pada bas mini berasingan mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang di bandar utara Mazar-i-Sharif menyasarkan Syiah yang pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

Bom di masjid Syiah di Mazar-i-Sharif seminggu sebelum itu membunuh sekurang-kurangnya 12 jemaah dan mencederakan lebih ramai lagi. – AFP, 1 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen