KUMPULAN militan Isis pada Sabtu mengaku bertanggungjawab berhubung serangan ke atas sebuah masjid di ibu kota Afghanistan, Kabul semalam, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 jemaah.
Mereka meledakkan bahan letupan yang diletakkan berhampiran bas di Sektor 6 Kabul, kata kumpulan itu dalam mesej yang disiarkan di akaun Telegramnya.
Kumpulan itu berkata serangan itu membunuh 10 orang, jumlah yang sama diumumkan oleh kementerian dalam negeri Afghanistan. Polis Kabul berkata 30 lagi cedera.
Pegawai Afghanistan berkata serangan itu nampaknya menyasarkan anggota minoriti pengamal Sufi yang berkumpul selepas selesai solat Jumaat.
Imej mengerikan letupan pada Jumaat yang disiarkan di media sosial menunjukkan mangsa terselamat berlari keluar dari masjid, dengan beberapa orang membawa mangsa termasuk kanak-kanak.
Pada Sabtu, jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan itu. – AFP, 1 Mei, 2022.
Komen