Rusia desak AS, Nato henti bekal senjata kepada Ukraine


Rusia mendesak AS dan Nato menghentikan pembekalan senjata kepada Ukraine jika mahu krisis itu selesai. – Gambar AFP, 30 April, 2022.

MENTERI luar Rusia menggesa AS dan Nato menghentikan pembekalan senjata kepada Kyiv jika mereka “benar-benar berminat mahu menyelesaikan krisis Ukraine”, lapor media negara China hari ini.

Pencerobohan yang sudah berlanjutan berbulan lamanya itu kini masih tidak mampu menakluk Kyiv, dan Moscow kini memperhebat usaha untuk menawan wilayah di timur Ukraine, Donbas.

Tetapi Sergei Lavrov memberitahu agensi berita China, Xinhua, yang “operasi ketenteraan khas sedang berjalan sepenuhnya menurut pelan”.

China memilih untuk tidak mengecam Rusia atas tindakan negara itu menceroboh Ukraine dan terus mengekalkan hubungannya dengan Moscow, dengan media negara itu sering mengulangi pendirian Rusia dalam konflik itu.

“Jika AS dan Nato benar-benar berminat mahu menyelesaikan krisis Ukraine, pertama sekali mereka sepatutnya sedar dan menghentikan pembekalan senjata dan bahan letupan kepada rejim Kyiv,” kata Lavrov.

Kremlin sebelum ini menyifatkan tindakan Barat menghantar senjata kepada Ukraine sebagai ancaman kepada keselamatan Eropah.

Dalam wawancara bersama Xinhua yang diterbitkan hari ini, Lavrov berkata Rusia boleh “mengubah” ekonominya untuk melindunginya daripada sebarang potensi “kekasaran tidak sah”.

Tambahnya sekatan yang dikenakan kepada Rusia membolehkannya mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dan import serta merangsang kebebasan teknologi negara itu, lapor Xinhua.

Moscow menggerakkan dasar “de-dolarisasi” sejak beberapa tahun lepas, meminta rakan ekonomi seperti China dan India melakukan pembayaran menggunakan mata wang bukan dolar AS.

Sejak pencerobohan Ukraine berlaku, negara Barat mengenakan sekatan yang melumpuhkan dan memulaukan sektor kewangan Rusia daripada ekonomi global.

Pihak pendakwa raya Ukraine berkata mereka mempunyai bukti untuk lebih 8,000 jenayah perang dan menyiasat 10 tentera Rusia yang disyaki melakukan kekejaman perang di Bucha, di mana berpuluh mayat orang awam ditemui selepas pengunduran tentera Rusia. – AFP, 30 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen