Kerajaan digesa hapus sekatan bekerja pasangan warga asing


Ravin Palanisamy

Membenarkan pasangan bukan warganegara bekerja tanpa sekatan akan mengukuhkan ekonomi Malaysia, melindungi keluarga rakyat Malaysia dan mengatasi masalah kekurangan bakat profesional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2022.

KUMPULAN Sokongan Pasangan Asing (FSSG) mahu kerajaan Malaysia menghapuskan sekatan terhadap pasangan bukan warganegara yang menetap di negara ini untuk bekerja.

Menjelang Hari Pekerja esok, ia menggesa kerajaan memberi hak sama rata kepada pasangan asing untuk bekerja, yang didakwa akan mengukuhkan ekonomi negara serta melindungi keluarga mereka.

“Hari Pekerja ini, kami ingin menyeru kerajaan membenarkan pasangan bukan warganegara hak sama rata untuk bekerja dengan menghapuskan kenyataan larangan bekerja bagi visa pasangan.

“Kami juga mahu kerajaan melanjutkan perlindungan undang-undang buruh dan mekanisme perlindungan sosial seperti mandatori KWSP dan Perkeso, dan kelayakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan pakej pemberhentian kepada pasangan untuk memastikan perlindungan dan kestabilan ekonomi yang lebih baik untuk keluarga Malaysia secara keseluruhan.

“Selain itu, kerajaan harus membenarkan pasangan warga asing membuka akaun bank individu supaya mereka mempunyai autonomi dan kebebasan kewangan lebih besar,” kata FSSG dalam satu kenyataan hari ini.

Antara sekatan itu, mereka berkata visa pasangan warga asing mempunyai kenyataan “dilarang daripada semua bentuk pekerjaan” yang dicap pada Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang mereka, juga dirujuk sebagai visa pasangan.

Mereka berkata majikan keberatan untuk mengambil pasangan bukan warganegara apabila melihat kenyataan ini, walaupun Jabatan Imigresen berkata pengesahan untuk bekerja boleh diperolehi selepas mendapat tawaran daripada majikan.

“Kelulusan untuk bekerja juga sangat terhad di mana ia terikat dengan tarikh luput visa (mungkin memerlukan pembaharuan yang kerap), terhad kepada satu negeri dalam negara, dan pasangan bukan warganegara tidak dapat memperoleh lesen profesional sehingga Pemaustation Tetap diperolehi,” tambah kumpulan itu.

Ia berkata tinjauan yang dijalankan oleh Family Frontiers mendapati 75% daripada pasangan bukan warganegara memiliki ijazah Sarjana Muda atau lebih tinggi namun 49% daripada mereka masih menganggur.

“Walaupun layak atas dasar yang sama seperti pasangan Malaysia mereka, status undang-undang menjadi halangan mereka bekerja dan mencapai kebebasan ekonomi dan autonomi — komponen penting keharmonian keluarga di setiap rumah,” kata FSSG.

Dengan lebih 200,000 keluarga dalam kategori ini di Malaysia, kumpulan itu menggesa keluarga ini dilayan dengan sepatutnya.

Mereka berkata dengan membenarkan pasangan bukan warganegara bekerja tanpa sekatan, kerajaan akan mengukuhkan ekonomi Malaysia, melindungi keluarga rakyat Malaysia dan mengatasi masalah kekurangan bakat profesional.

“Ini juga akan meningkatkan kedudukan antarabangsa dan serantau Malaysia dengan kemajuan komitmen kepada SDG 8: untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan mampan, pekerjaan penuh dan produktif serta kerja memuaskan untuk semua,” tambahnya. – 30 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen