Russia mengaku serang Kyiv ketika lawatan PBB


Russia mengakui melakukan serangan udara di Kyiv ketika setiausaha agung PBB melawat negara itu. – Gambar EPA, 30 April, 2022.

RUSSIA mengesahkan melakukan serangan udara di Kyiv ketika setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengadakan lawatan ke negara itu, serangan pertama ke atas ibu negara Ukraine dalam tempoh hampir dua minggu.

Vera Gyrych, penerbit untuk Radio Free Europe/Radio Liberty yang dibiayai Amerika Syarikat (AS) terbunuh apabila peluru berpandu Russia mengenai bangunan rumahnya, menurut kumpulan media itu.

Kementerian Pertahanan Russia berkata senjata udara berketepatan tinggi dan jarak jauh digunakan yang memusnahkan bangunan pengeluaran peluru berpandu dan perusahaan angkasa lepas Artyom di Kyiv.

Sehubungan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menggesa tindak balas dunia yang lebih kuat terhadap serangan pada Khamis yang turut dinyatakan dalam perbincangannya dengan Antonio Guterres.

Guterres juga melawat Bucha dan pinggir bandar Kyiv lain yang mana Moscow didakwa melakukan jenayah perang. Russia menafikan membunuh orang awam.

Jerman berkata serangan tidak berperikemanusiaan itu menunjukkan Presiden Russia Vladimir Putin tidak menghormati undang-undang antarabangsa.

“Letupan kuat merosakkan dinding dan pintu, meninggalkan timbunan runtuhan di atas tanah.

“Saya rasa rakyat Russia tidak takut apa-apa, termasuk penghakiman dunia,” kata Timbalan Pengarah Klinik Anna Hromovych, ketika beliau membersihkan sisa runtuhan kliniknya yang musnah dalam serangan berkenaan.

Pendakwa raya Ukraine berkata mereka mengenal pasti lebih 8,000 mangsa jenayah perang dan sedang menyiasat 10 tentera Russia kerana disyaki melakukan kekejaman di Bucha, berpuluh mayat dalam pakaian awam ditemui selepas tentera Moscow berundur.

Jurucakap Pentagon John Kirby semalam sebak ketika menggambarkan kemusnahan yang berlaku di Ukraine dan menyelar kejahatan Putin.

Tiga bulan selepas pencerobohan yang gagal dalam matlamat jangka pendeknya untuk menawan Kyiv, Russia kini mempergiatkan operasi di wilayah timur Donbas dan mengetatkan cengkamannya di bandar pelabuhan selatan Mariupol yang musnah.

Pihak berkuasa Ukraine berkata mereka merancang untuk memindahkan orang awam pada Jumaat dari kilang keluli Azovstal yang sudah terkepung dan menyelamatkan tebusan terakhir di Mariupol yang mana ratusan berlindung bersama tentera Ukraine.

Pemimpin wilayah timur Donetsk, Denis Pushilin menuduh tentera Ukraine bertindak seperti pengganas secara terang-terangan. – AFP, 30 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen