BEKAS bintang tenis Boris Becker semalam dipenjarakan selama dua setengah tahun selepas didapati bersalah oleh mahkamah Britain berhubung pertuduhan berkaitan kebankrapannya pada 2017.
Juara Grand Slam enam kali berusia 54 tahun itu akan menjalani separuh daripada tempoh tersebut selepas disabitkan kesalahan di Mahkamah Southwark Crown di London atas pemindahan sejumlah besar wang daripada akaun perniagaannya.
Beliau juga gagal mengisytiharkan harta di Jerman dan menyembunyikan €825,000 (RM3.7 juta) hutang dan saham dalam firma teknologi.
Beliau dibebaskan awal bulan ini daripada 20 pertuduhan lagi, termasuk sembilan pertuduhan gagal menyerahkan trofi dan pingat yang dimenanginya sepanjang karier tenisnya yang cemerlang.
Becker memberitahu juri beliau tidak tahu di mana memorabilia itu, termasuk dua daripada tiga trofi perseorangan lelaki kejuaraan Wimbledon.
Hakim Deborah Taylor membebaskan Becker dengan ikat jamin bersyarat sebelum keputusan hukumannya semalam.
Ketika menjatuhkan hukuman, beliau berkata kepada Boris: “Anda tidak menunjukkan penyesalan, menerima kesalahan anda dan berusaha untuk menjauhkan diri daripada kesalahan dan kebankrapan anda.
Taylor berkata sabitan terdahulu Becker di Jerman atas kesalahan cukai adalah “faktor yang memburukkan lagi”.
Bintang itu tidak menunjukkan sebarang emosi ketika dijatuhkan hukuman, mengambil begnya sebelum dibawa turun ke sel.
Tiada maklumat Becker akan merayu dan mengemukakan sebarang cabaran undang-undang dari penjara. – AFP, 30 April, 2022.
Komen