Lebih 10 maut letupan bom di masjid Afghanistan


Ambulans membawa mangsa yang cedera akibat letupan bom berhampiran tempat kejadian di Kabul, Afghanistan, ke hospital. – Gambar EPA, 30 April, 2022.

SATU letupan bom di ibu negara Afghanistan memusnahkan masjid Sunni dan membunuh sekurang-kurangnya 10 jemaah pada Jumaat, kata pegawai kementerian dalam negeri, insiden terbaru yang menggegarkan negara semasa bulan Ramadan.

Puluhan orang awam terbunuh dalam serangan yang didakwa dilakukan Isis, menyasarkan pengikut Syiah dan Sufi.

Imej mengerikan kejadian pada Jumaat yang disiarkan di media sosial menunjukkan mangsa terselamat berlari keluar dari masjid, dengan beberapa orang membawa mangsa termasuk kanak-kanak. Tompokan darah kelihatan di lantai perkarangan masjid.

“Ramai jemaah berada di masjid Khalifa Sahib ketika letupan berlaku,” kata seorang mangsa terselamat yang menyebut namanya sebagai Ahmad kepada AFP.

“Ramai mangsa tercampak.”

Sasaran letupan dijangka adalah pengikut Sufi yang berkumpul selepas selesai solat Jumaat, kata seorang pegawai.

Mangsa berlumuran darah dibawa dengan ambulans dan kenderaan ke sebuah hospital di bandar Kabul tetapi pejuang Taliban menghalang wartawan daripada mengakses kemudahan itu.

Sekumpulan wanita menangis di luar hospital dan berhampiran masjid dalam usaha mencari orang tersayang, lapor wartawan AFP.

“Kira-kira 300 hingga 400 orang sedang berkumpul ketika letupan itu berlaku,” kata seorang penduduk kawasan itu yang hanya memberi nama Faraidun.

“Saya membantu membawa masuk kenderaan 10 hingga 15 cedera dan tiga terbunuh. Ramai yang cedera dan maut masih dipindahkan.”

Jurucakap kementerian dalam negeri Abdul Nafi Takor berkata sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh, manakala polis Kabul berkata 30 lagi cedera.

Timbalan jurucakap kementerian Bismillah Habib berkata bahan letupan itu diletakkan di dalam masjid.

Serangan pada Jumaat berlaku beberapa jam selepas pemimpin tertinggi Afghanistan, Hibatullah Akhundzada memuji aparatus keselamatan negara itu dalam mesej menjelang cuti Aidilfitri yang menandakan berakhirnya Ramadan.

Walaupun beliau tidak menyebut tentang kejadian pengeboman baru-baru ini, beliau berkata Afghanistan mampu membina “ketenteraan dan negara Islam yang kuat,” serta “organisasi perisikan yang kuat”.

Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Afghanistan, Ramiz Alakbarov, mengutuk letupan itu.

“Letupan hari ini ... adalah satu lagi tamparan pedih kepada rakyat Afghanistan yang terus terdedah kepada ketidakamanan dan keganasan yang tidak henti-henti,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap kerajaan Afghanistan Zabihullah Mujahid menulis di Twitter yang pelaku letupan itu akan dihukum.

Pekerja perbandaran dikerahkan untuk membersihkan tapak tersebut, manakala tentera Taliban mengepung kawasan itu.

Tiada kumpulan setakat ini mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Letupan pada Jumaat berlaku sehari selepas dua insiden berasingan melibatkan letupan bas mini yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang di bandar utara Mazar-i-Sharif, menyasarkan penumpang Syiah yang pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

Kejadian bom di masjid Syiah di Mazar-i-Sharif seminggu sebelum itu membunuh sekurang-kurangnya 12 jemaah dan mencederakan lebih ramai lagi.

Cawangan serantau Isis di Afghanistan yang majoritinya Sunni berulang kali menyasarkan Syiah dan minoriti seperti Sufi. – AFP, 30 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen