Lori 10 tan rempuh 11 kereta di Nilai


SEBUAH lori 10 tan membawa muatan kertas gulung seberat kira-kira lapan tan merempuh 11 kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran Pusat Bandar dekat Nilai, Negeri Sembilan petang tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Fazley Ab Rahman berkata kejadian pada jam 5.50 petang itu berlaku apabila lori terbabit, yang dipandu seorang lelaki berumur 26 tahun dan dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Beranang, Selangor, mengalami masalah brek sehingga hilang kawalan sebelum terbabas serta melanggar deretan kereta di lampu isyarat merah.

“Akibat kemalangan itu, seorang pemandu kereta mengalami kecederaan ringan luka di kepala. Bagaimanapun, pemandu lori dan pemandu kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan ujian air kencing pemandu lori didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis menasihati orang awam supaya memandu dalam keadaan selamat dan patuh kepada kelajuan ditetapkan terutama ketika musim perayaan ini. – Bernama, 29 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen