SEMUA parti politik perlu bersikap terbuka untuk duduk berbincang bersama-sama bagi menentukan masa depan rakyat, kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata, perbincangan antara parti politik bukan hanya menumpukan soal untuk menang pilihan raya semata-mata, malah tanggungjawab lebih besar menanti dalam menentukan hala tuju negara.
“Untuk kepentingan rakyat ini biarlah kita mempunyai sikap yang terbuka. Maknanya apa? Maknanya kita boleh duduk, bincang semata-mata untuk menentukan masa depan rakyat.
“Jadi selalunya kita membincangkan perkara seperti ini, bukan hanya nak membincangkan soal pilihan raya, tapi nak membincangkan soal kepentingan bagaimana nak menentukan masa depan negara yang lebih baik, cara mana, strategi bagaimana… apa semua itu harus difikirkan bersama-sama kalau benar-benar mahu berkecimpung dalam politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis iftar ala Madinah peringkat Parlimen Tangga Batu anjuran Bersatu Bahagian Tangga Batu di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong, Melaka malam ini.
Hadir sama Naib Presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen.
Mengulas mengenai idea kerjasama ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Hamzah berkata, semua parti politik mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara itu.
Katanya, apa yang penting matlamat dan tujuan berpolitik demi kepentingan rakyat. – Bernama, 29 April, 2022.
Komen