Jokowi minta Putin tamatkan perang di Ukraine


Presiden Indonesia Jokowi menjemput Vladimir Putin dan Volodymyr Zelensky menghadiri sidang kemuncak G20 di Bali November ini. – Gambar EPA, 29 April, 2022.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo menggesa Russia menamatkan operasi ketenteraan di Ukraine yang memberi kesan negatif kepada pemulihan ekonomi dunia.

Joko Widodo menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin pada Khamis “menggariskan konflik mesti dihentikan serta-merta dan ruang untuk rundingan damai harus diberi keutamaan.”

“Indonesia bersedia menyumbang ke arah matlamat ini,” kata presiden itu.

Joko Widodo, juga dikenali mesra sebagai Jokowi, menerusi ciapan terbaharunya memaklumkan kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan situasi di Ukraine serta kerjasama G20.

Jokowi juga menolak permintaan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky untuk bekalan senjata, sambil berkata permintaan itu bertentangan dengan dasar luar Indonesia.

Beliau bercakap dengan pemimpin Ukraine itu menerusi panggilan telefon pada petang Rabu.

Jokowi, menerusi siaran langsung hari ini berkata, kedua-dua pemimpin Putin dan Zelensky dijemput ke sidang kemuncak G20 pada November di Bali.

“Saya ingin menegaskan Indonesia berminat untuk menyatukan anggota G20. Tidak seharusnya ada perpecahan. Keamanan dan kestabilan kunci kepada pemulihan dan pembangunan ekonomi dunia,” katanya. – Bernama, 29 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen