Indonesia hantar 3.1 tan bantuan kemanusiaan ke Sri Lanka


Penunjuk perasaan memprotes siang dan malam menggesa peletakan jawatan presiden berhubung dakwaan kegagalan menangani krisis ekonomi negara. – Gambar EPA, 29 April 2022.

KERAJAAN Indonesia menyumbang 3.1 tan bantuan kemanusiaan terdiri daripada ubat-ubatan dan peralatan perubatan, bernilai 22.1 bilion rupiah (AS$1.6 juta) kepada Sri Lanka yang mengalami kekangan kewangan.

Kumpulan pertama bantuan kemanusiaan dihantar pada Khamis yang terdiri daripada lapan ubat sitostatik dan enam alatan perubatan bernilai 4.5 bilion rupiah manakala bantuan seterusnya dijadualkan pada 8 Mei.

“Sri Lanka rakan kongsi penting Indonesia, semoga bantuan ini dapat meringankan beban rakyatnya,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Indonesia Kunta Wibawa Dasa Nugraha dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis penyerahan bantuan berlangsung pada Khamis di lapangan terbang Soekarno-Hatta dan disampaikan kepada Duta Besar Sri Lanka ke Indonesia dan Asean, Yasoja Gunasekera.

Sembilan syarikat farmaseutikal dan syarikat peranti perubatan Indonesia menyumbang bantuan itu.

Sri Lanka berdepan krisis ekonomi disebabkan kekurangan mata wang asing dan negara itu menghentikan pembayaran balik hutang luar negara pada 12 April. – Bernama, 29 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen