SAMI yang memberi berkat dan restu buat ramai pendaki Everest meninggal dunia hari ini di Nepal pada usia 87 tahun, kata pegawai tempatan.
Lama Geshe dianggap sebagai “penunggu” dalam komuniti pendaki Everest, malah ramai yang tidak akan berani mendaki gunung setinggi 8,848 meter itu tanpa mendapatkan restu dan nasihat daripada beliau.
Menurut pegawai tempatan Pemba Tshering Sherpa, sami Buddha itu meninggal awal pagi semalam di kampung halamannya di Pangboche, yang terletak berdekatan Lembah Khumbu, tidak jauh dari bayangan Everest.
Lama Geshe sangat dihormati dalam masyarakat Sherpa, yakni kumpulan etnik berfahaman Buddha di banjaran Himalaya yang juga merupakan tulang belakang kepada industri pendakian gunung Nepal.
Etnik Sherpa terkenal kerana banyak membantu pendaki untuk mendaki gunung tertinggi dunia itu setiap tahun.
Etnik Sherpa, yang menggelar kesucian Everest itu dengan nama Chomolungma (Dewi Segala Gunung), tidak mungkin mendaki gunung itu tanpa melawat Lama Geshe.
Malah, rumah sami itu sudah menjadi seakan tempat singgah buat para pendaki yang sedang menuju ke puncak.
“(Etnik) Sherpa percaya doanya sangat berkuasa untuk menolong mereka di Everest,” kata Dawa Steven Sherpa dari Asian Trekking, pengendali pengembaraan pendakian gunung di Nepal.
“Akan ada sedikit risau antara Sherpa yang akan mendaki gunung tahun ini disebabkan hilangnya ‘rempah utama’ keselamatan.”
Setiap kali tibanya musim mendaki, Lama Geshe akan mendoakan ratusan pendaki dengan membacakan mantera atau zikir kepada dewa Buddha Miyolangsangma yang hidup di puncak gunung Everest, yang mana semua pendaki patut merayu jika mahu turun dengan selamat.
Selain itu, Lama Geshe juga akan memberikan tangkal buat pendaki yang mana mengandungi mantera agar dipakai di leher sepanjang pendakian ke puncak Everest.
Pada usia mudanya, Lama Geshe belajar di Tibet sehingga mendapat pengiktirafan akademik tertinggi di kalangan sami, iaitu doktor Buddhist.
Mendiang kemudian meninggalkan Tibet pada 1950-an apabila China mula menjajah dan kembali ke kampung halamannya di Lembah Khumbu.
Mendiang bernikah dan dikurniakan dua cahaya mata. Perkahwinannya itu dibenarkan memandangkan aliran fahaman Buddha-nya tidak seperti yang kita sedia tahu. – AFP, 14 Februari, 2018.
Komen