PASUKAN penyelamat bertungkus lumus mencari mangsa yang terselamat selepas sebuah bangunan perniagaan runtuh hari ini di bandar Changsha, China, lapor media pemerintah.
Bangunan enam tingkat itu, yang runtuh sekitar tengah hari, menempatkan sebuah restoran, rumah tamu dan pawagam, menurut badan penyiar CCTV.
Video yang ditayangkan media tempatan menunjukkan awan debu yang besar menyelubungi jalan raya serta pagar renyuk dan timbunan runtuhan di tapak bangunan itu pernah berdiri.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, meskipun syarikat milik pemerintah CGTN menyatakan terdapat individu yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan dan “operasi menyelamat sedang dijalankan”.
Menurut CCTV “pekerja jabatan kecemasan dan kebakaran dikejarkan ke tempat kejadian” dan “keadaan membabitkan mangsa sedang disiasat”.
Kejadian bangunan runtuh bukan satu perkara luar biasa di China, disebabkan piawaian keselamatan yang lemah dan amalan rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa.
Januari lalu, letupan yang disyaki akibat kebocoran gas menyebabkan sebuah bangunan runtuh di bandar Chongqing, membunuh lebih 12 orang.
Sementara itu, 25 orang maut dalam letupan gas di kawasan kediaman pada Jun 2021, turut menjejas bangunan dua tingkat yang sibuk dengan pembeli.
Pada bulan sama, 18 orang terbunuh dan ramai lagi cedera apabila kebakaran berlaku di sebuah sekolah seni mempertahankan diri, dengan media pemerintah melaporkan semua mangsa terdiri daripada pelajar. – AFP, 29 April, 2022.
Komen