UK hantar 8,000 tentera sertai latihan di Eropah Timur


United Kingdom akan mengerahkan 72 kereta kebal utama Challenger 2 ke Eropah Timur. – Gambar EPA, 29 April 2022.

UNITED Kingdom akan mengerah 8,000 anggota tenteranya ke Eropah Timur bagi menyertai latihan ketenteraan, lapor agensi berita Sputnik.

Pembabitan UK menzahirkan sumbangan kepada keselamatan Eropah susulan operasi ketenteraan Russia di Ukraine, kata laporan itu memetik kenyataan Setiausaha Pertahanan UK Ben Wallace pada Jumaat.

“Keselamatan di Eropah sentiasa penting. Latihan ketenteraan ini menyaksikan pasukan tentera kita bergabung dengan sekutu dan rakan kongsi Nato serta Pasukan Ekspedisi Bersama dalam menzahirkan solidariti dan kekuatan terbesar sejak Perang Dingin.

“Latihan itu juga bertujuan mempamerkan skala dan kepentingan sumbangan Tentera British kepada pertahanan Eropah,” Wallace dipetik sebagai berkata oleh Sky News.

Anggota tentera akan ditempatkan di negara dari Finland ke Macedonia Utara, serta berpuluh-puluh kereta kebal Challenger 2 dan lebih 100 kenderaan tempur berperisai turut digunakan.

Tentera UK dan tentera Nato akan dilatih untuk meningkatkan keupayaan bersama, “menghalang pencerobohan Russia di Scandinavia dan negara Baltik,” menurut kementerian pertahanan UK.

Pengerahan itu dijangka mencapai kemuncak kira-kira 8,000 tentera antara April dan Jun.

Pada 24 Februari, Russia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine. – Bernama, 29 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen