GLC patut lantik bekas tentera, kata persatuan Patriot  


Kamles Kumar

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata kerajaan patut memperuntuk 10% kerja di GLC buat pesara tentera yang berumur bawah 60 tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Februari, 2018.

VETERAN tentera patut diberikan jawatan dalam syarikat berhubung kerajaan (GLC), kata persatuan bekas tentera kepada Putrajaya.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Mohamed Arshad Raji berkata kerajaan patut memperuntuk 10% kerja di GLC buat pesara tentera yang berumur bawah 60 tahun.

“Setiap GLC patut peruntuk 10% sumber manusianya buat veteran (tentera) dan bekas polis yang berumur tak sampai 60 tahun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambahnya, jika perkara ini dilakukan, veteran akan memperoleh skim persaraan yang lebih baik, yang mana Arshad tekankan ia umpama langit dan bumi jika dibandingkan dengan skim persaraan penjawat awam.

Selain itu, ia juga akan memberi jaminan kerja buat bekas tentera, terutamanya bagi mereka yang tidak punya kemahiran lain untuk meneruskan kelangsungan hidup setelah bersara dari tentera.

“Ada banyak GLC. GLC boleh main peranan penting dengan peruntukkan beberapa peluang pekerjaan buat veteran.”

Patriot juga sedang cuba untuk membentuk semula syarat bersara pasukan keselamatan itu selain pengecualian buat daripada membayar bil kemudahan asas.

Ini akan membantu “veteran yang sangat miskin,” kata Arshad.

Katanya Patriot berharap untuk berjumpa dengan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein bagi membincangkan isu-isu ini agar dapat menaik taraf dan membaiki kebajikan bekas tentera. – 14 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen