Presiden Mexico cadang rombak sistem pilihan raya


Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador berjanji pembaharuan sistem pilihan raya negara tu akan menamatkan penipuan pilihan raya selain menjamin pelaksanaan demokrasi. – Gambar EPA, 29 April, 2022.

PRESIDEN Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada Khamis berkata beliau bercadang mengemukakan rang undang-undang kepada Kongres bagi merombak sistem pilihan raya negara itu, lapor Xinhua.

Pembaharuan yang dicadangkan termasuk menggantikan Institut Pilihan Raya Negara berautonomi yang menganjurkan pilihan raya, menghapuskan perwakilan berkadar dalam Kongres, yang dijangka mengurangkan kos sehingga 24 bilion peso (AS$1.2 bilion).

“Pembaharuan terhadap Perlembagaan mengenai Pilihan Raya bakal mewujudkan Institut Pilihan Raya dan Rundingan Kebangsaan, menggabungkan pilihan raya serta memansuhkan pelbagai badan kawal selia yang kini bertanggungjawab menguruskan pilihan raya di setiap negeri.

Pembaharuan itu akan menamatkan “penipuan dalam pilihan raya” dan menjamin “pelaksanaan demokrasi,” kata Lopez Obrador dalam sidang media.

Berdasarkan cadangan itu, bilangan kerusi perundangan di dewan rakyat akan dikurangkan daripada 500 kepada 300, dan kerusi Dewan Negara akan dikurangkan daripada 128 kepada 96. 

Selain itu, kaedah pelantikan timbalan, senator dan ahli majlis bandaran turut berubah daripada perwakilan berkadar tidak langsung kepada pengundian langsung.

Sejak menjawat jawatan pada Disember 2018, Lopez Obrador telah menerajui pembaharuan dalam beberapa sektor, termasuk tenaga. – Bernama, 29 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen