Politik tak stabil punca Malaysia ketinggalan projek BRI China, kata pakar


Khoo Gek San

Pakar berkata Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) khususnya telah mengalami beberapa siri penundaan kerana keraguan kerajaan Pakatan Harapan untuk meneruskan projek itu, sekali gus menyebabkan Malaysia hilang beberapa projek lain di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan China. – Gambar EPA, 1 Mei, 2022.

INISIATIF Jalur dan Laluan (BRI) antara China dan Malaysia setakat ini berhadapan kelewatan disebabkan politik tidak stabil selain pandemik Covid-19, kata pakar.

Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) khususnya mengalami beberapa siri penundaan kerana keraguan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan projek itu, kata mereka.

Kelewatan ini bermakna Malaysia mungkin hilang projek lain di bawah BRI, tambah mereka.

Ong Tee Keat, pengerusi Center for New Inclusive Asia, badan pemikir yang berpangkalan di Malaysia berkata Covid-19 tidak membantutkan inisiatif itu kerana China menggunakan pandemik untuk memajukan diplomasi lembut mereka melalui vaksin.

Ini bermakna BRI tidak lagi terhad kepada projek infrastruktur, tetapi apa sahaja yang boleh menjadi kelebihan kepada China, yang bersama-sama Malaysia menjadi penandatangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Ong yang juga pengerusi Dewan Perniagaan Jalan Sutera Malaysia-China berkata perubahan kerajaan pada 2018 turut menyebabkan projek itu tergelincir.

Beliau berkata Malaysia perlu menunjukkan keikhlasan dalam kerjasama dengan China kerana ia akan menjejaskan imej dan kredibiliti negara selain memberi peluang kepada media Barat untuk memburukkan BRI.

Ketidakstabilan politik Malaysia baru-baru ini bakal menyebabkan ia ketinggalan di belakang, tambahnya.

ECRL khususnya telah mengalami beberapa siri penundaan kerana keraguan kerajaan Pakatan Harapan untuk meneruskan projek itu, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2022.

ECRL yang ditauliahkan oleh Barisan Nasional itu menjangkau 665km dan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Projek bernilai AS$20 bilion itu dibatalkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 2019, tetapi kemudiannya dihidupkan semula pada 2020 di bawah Perikatan Nasional.

Ia dijangka siap pada 2026.

ECRL sia-sia jika tidak disambung dengan Singapura

Pengerusi pusat penyelidikan BRI Cheah See Kian berkata ECRL hanya siap 27.19 peratus.

“Bolehkah kita percaya pengumuman rasmi yang ia akan disiapkan tepat pada masanya?” tanya Cheah.

“Rakyat telah hilang keyakinan terhadap kerajaan.”

Cheah meletakkan kesalahan pada PH yang membantutkan projek ECRL dan Malaysia kerana terlepas projek BRI.

“Dr Mahathir yang umum projek itu akan dibatalkan.”

Apabila PH berkuasa pada 2018, terdapat pergeseran politik dengan China dan negara lain seperti Indonesia.

Malah projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura yang tidak ada kaitan dengan projek BRI turut terkesan sekali, tambah Cheah.

Beliau berkata projek itu tidak sepatutnya dibatalkan memandangkan kereta api China-Laos, yang menghubungkan Kunming di Barat Daya China ke Vientiane di Laos telah dibuka.

Lebih 1,000km panjang, projek itu adalah projek paling bercita-cita tinggi di China di bawah inisiatif One Belt, One Road, katanya. Ia adalah sebahagian daripada rangkaian kereta api Trans-Asia.

“Kereta api China-Thailand kini dalam pembinaan. Malaysia terlepas peluang untuk tidak memulakan perbincangan dengan Singapura lagi,” katanya.

Ong menegaskan walaupun kereta api Trans-Asia bermula jauh sebelum projek BRI, ia masih mempunyai impak yang besar.

Ada pakar yang menyalahkan Pakatan Harapan yang diterajui Dr Mahathir Mohamad yang yang membantutkan projek ECRL dan Malaysia kerana terlepas projek BRI. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2022.

Masalah terbesar Malaysia sekarang ialah ketidakpastian, kata Ong.

Jika ia tidak boleh buat keputusan mengenai HSR, ia tidak boleh kendalikan kereta api Trans-Asia, katanya.

Bagaimanapun, jika seksyen kereta api Trans-Asia di Malaysia dilancarkan, HSR perlu dihidupkan semula dan ketidakstabilan politik tidak boleh dijadikan alasan, katanya.

Ong berkata, selain infrastruktur, China kini beralih kepada infrastruktur digital untuk menggalakkan ekonomi digital dan pembangunan mampan atau ekonomi lautan.

Strategi China juga menumpukan pada pembangunan vaksin bersama dan mewujudkan mekanisme kesihatan awam sebagai sebahagian daripada program BRI. Oleh itu, Malaysia harus merebut peluang ini.

Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia boleh memanfaatkan ini dan membangunkan akuakultur, perikanan, perkapalan dan pelancongan yang akan memberi manfaat kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Sarawak bakal jadi Silicon Valley Timur

Dengan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan, Cheah berkata ini akan membolehkan Sabah dan Sarawak memupuk hubungan rapat dengan negara itu, menjadikannya segitiga emas ekonomi baharu.

Malaysia boleh memanfaatkan status maritimnya dan membangunkan akuakultur, perikanan, perkapalan dan pelancongan yang akan memberi manfaat kepada KDNK negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2022.

Pembangunan ekonomi digital Sarawak juga berada di landasan untuk memenuhi pelan Ekonomi Digital 2018-2025, kata Cheah.

“Kerajaan rancang untuk promosikan pengkomputeran awan, pusat data dan lebih banyak kabel internet dasar laut di Sarawak.

“Pulau Pinang sentiasa dikenali sebagai Silicon Valley Timur, tetapi ia akan dipintas Sarawak tidak lama lagi.

“Negeri yang kaya dengan minyak ini telah membuktikan dirinya, dengan parti tempatan menang 76 kerusi pada pilihan raya negeri lalu. Ini membuktikan rakyat Sarawak mahukan kemerdekaan dan kawalan ekonomi mereka sendiri.”

Pakar percaya yang pembangunan ekonomi digital Sarawak juga berada di landasan untuk memenuhi pelan Ekonomi Digital 2018-2025. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2022.

Pada pilihan raya negeri lalu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 76 kerusi manakala PSB menang empat dan DAP menang dua kerusi.

Pada 2017, Indonesia mengumumkan ia sedang membina sistem kereta api sepanjang 2,428km di Kalimantan, menghubungkan Sarawak dan Sabah.

Apabila siap, kedua-dua negeri dan Indonesia dijangka mempunyai ekonomi yang sama dalam hal budaya, kesihatan, pendidikan dan pertanian.

Cheah berkata Indonesia akan menjadi kuasa ekonomi yang menggerunkan pada masa hadapan manakala Malaysia ketinggalan disebabkan masalah politik dalaman.

Walaupun lambat menerima inisiatif BRI, Indonesia telah mengatasi Malaysia, katanya.

Jika Malaysia tidak bertindak, ia akan terus terlepas peluang, tambahnya. – 1 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen