PELAKON era 80-an yang popular menerusi filem ‘Ali Setan’, Mohd Azmil Mustapha Kamil meninggal dunia kerana sakit jantung di kediamannya di Seksyen 9 Shah Alam, kira-kira pukul 12.40 tengah hari tadi.
Adik bongsunya Mohd Aziph Mustapha memaklumkan perkara itu dalam akaun laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Mohd Aziph, jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini untuk urusan serta solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di Shah Alam untuk dikebumikan.
“Kami memohon maaf bagi pihak Allahyarham atas segala kekhilafan, dan mohon doakan kesejahteraan Allahyarham,” katanya menerusi catatan Facebook itu.
Mohd Azmil, 65, yang popular menerusi lakonan beliau dalam filem pecah panggung Mekanik dan Ali Setan merupakan bapa tunggal kepada lima orang anak berusia 15 hingga 32 tahun.
Beliau turut mempunyai tiga cucu berusia lima hingga setahun. – Bernama, 14 Februari, 2018.

Komen