Tidak boleh potong gaji, elaun pekerja BDR, kata Saravanan


Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata pemotongan gaji tidak boleh dilakukan dan tidak sepatutnya berlaku.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2022.

DASAR gaji negara tidak membenarkan pemotongan gaji atau elaun pekerja yang bekerja dari rumah (BDR), kata Menteri Sumber Manusia M.Saravanan.

Beliau berkata pemotongan gaji tidak boleh dilakukan dan tidak sepatutnya berlaku.

“Hari ini tiada halangan, majikan boleh minta mereka masuk ke pejabat. Tidak boleh mana-mana pihak kerja dari rumah tanpa persetujuan daripada majikan. 

“Majikan dia membenarkan, maka tidak patutlah mereka hendak potong gaji. Kalau majikan tidak setuju dengan pekerja bekerja dari rumah, mereka boleh minta majikan datang ke pejabat. Jangan kita bagi kebenaran, kita pula potong gaji,” katanya selepas majlis berbuka puasa di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan mengenai Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang melihat kewajaran majikan memberikan gaji yang lebih kecil termasuk memotong elaun perjalanan jika pekerja memilih untuk BDR.

Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan dilaporkan berkata ada pekerja yang bersetuju dengan langkah berkenaan susulan bekerja dari rumah sudah menjimatkan kos pergi dan balik dari tempat kerja. – Bernama, 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen