Mahkamah Singapura tangguh hukuman mati seorang lagi rakyat Malaysia, kata peguam


Elill Easwaran

Peguam N. Surendran berkata Mahkamah Tinggi Singapura telah menangguhkan hukuman mati terhadap rakyat Malaysia Datchinamurthy Kataiah dan cabaran undang-undangnya akan didengar pada 20 Mei depan. – Gambar ihsan keluarga Datchinamurthy, 28 April, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Singapura telah menangguhkan hukuman mati rakyat Malaysia, Datchinamurthy Kataiah, yang sepatutnya dihukum mati esok, kata penasihat Lawyers for Liberty N. Surendran.

“Tidak ada hukuman mati untuk Datchinamurthy esok,” kata Surendran kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, Datchinamurthy, 36, merayu dan menghujahkan kesnya sendiri di hadapan mahkamah pagi ini kerana tiada peguam Singapura berani mewakilinya kerana bimbang dengan tindak balas daripada republik tersebut.

Datchinamurthy didakwa menyeludup 44.96gm diamorphine ke Singapura pada 2011 dan dijatuhkan hukuman mati pada 2015.

Sebelum ini peguam hak asasi manusia Singapura M Ravi mendakwa pelaksanaan hukuman mati adalah penghinaan terhadap mahkamah, kerana terdapat saman terhadap peguam Singapura belum selesai.

Cabaran undang-undang Datchinamurthy terhadap hukuman matinya akan didengar pada 20 Mei.

Dia akan menjadi rakyat Malaysia kedua yang dihukum mati di Singapura dalam tempoh dua hari jika ia berlaku esok.

Semalam, Singapura menghukum mati Nagaenthran Dharmalingam yang telah menjalani hukuman mati sejak lebih sedekad.

Rayuannya supaya hukuman dibatalkan berikutan paras IQnya yang rendah iaitu 69, lebih rendah daripada purata yang layak untuk hilang upaya intelek, tidak berjaya.

Dia ditangkap pada 2009 dan dijatuhi hukuman mati pada 2011 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah kerana mengimport 42.7g diamorphine secara haram.

Nagaentran telah ditangkap dengan heroin yang diikat pada pahanya ketika memasuki negara itu dari Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands pada April 2009.

Dia pada asalnya dijadualkan dihukum gantung pada November namun rancangan itu mencetuskan kritikan berikutan  tahap IQnya dan peguamnya melancarkan cabaran 11 jam di Mahkamah Rayuan.

Pada Selasa (26 April), Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibunya untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Panchalai Supermaniam memfailkan cabaran undang-undang untuk anaknya dengan bantuan rakan dan aktivis serta tidak diwakili oleh mana-mana peguam. – 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen