Indonesia gantung semua eksport minyak sawit


Indonesia menyumbang kira-kira 60 peratus daripada minyak sawit dunia, dengan satu pertiga digunakan oleh pasaran domestiknya. India, China, Kesatuan Eropah dan Pakistan antara pelanggan eksport utamanya. – Gambar EPA, 28 April, 2022.

INDONESIA mula mengenakan larangan sepenuhnya ke atas eksport minyak sawit pada Khamis berikutan kebimbangan ia bakal memberi risiko kepada kestabilan pasaran minyak sayuran global yang sudah mencecah harga puncak.

Pengeluar sawit terbesar dunia itu berdepan kekurangan minyak masak domestik serta harga yang melambung tinggi, dengan pengguna di beberapa bandar terpaksa beratur berjam-jam untuk membeli komoditi keperluan itu pada kadar subsidi.

Pihak berkuasa di negara paling ramai penduduk di Asia Tenggara itu bimbang kekurangan dan peningkatan kos bakal mencetuskan ketegangan sosial dan telah berusaha mendapatkan bekalan produk itu.

Pada Rabu, republik tersebut menjelaskan embargo itu akan merangkumi semua eksport biji minyak dan bukan sahaja produk yang bertujuan untuk minyak makan.

“Semua produk,” termasuk minyak sawit mentah, “dilindungi oleh peraturan Kementerian Perdagangan dan akan dikuatkuasakan,” kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto.

Presiden Joko Widodo berkata keutamaan tertinggi kerajaan adalah untuk membekalkan 270 juta penduduk republik itu.

“Sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, ironinya kami berhadapan kesukaran mendapatkan minyak masak,” katanya.

Indonesia menyumbang kira-kira 60 peratus daripada minyak sawit dunia, dengan satu pertiga digunakan oleh pasaran domestiknya. India, China, Kesatuan Eropah dan Pakistan antara pelanggan eksport utamanya.

Kekurangan sejak berbulan-bulan telah diburukkan lagi oleh peraturan yang lemah dan keengganan pengeluar untuk menjual di dalam negara kerana harga antarabangsa yang tinggi yang menjadikan eksport lebih menguntungkan.

Jakarta merancang untuk menyambung semula eksport apabila harga minyak masak pukal di pasaran tempatan jatuh kepada 14,000 rupiah (AS97 sen) seliter, setelah melonjak 70 peratus dalam beberapa minggu kebelakangan ini kepada 26,000 rupiah (AS$1.80).

Minyak sayuran merupakan antara beberapa barangan makanan ruji yang menyaksikan harga mencecah paras tertinggi dalam beberapa minggu kebelakangan ini, berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AFP, 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen