Korea Selatan hantar gas ke Eropah susulan krisis Ukraine


Korea Selatan bercadang hantar sebahagian bekalan LNG ke Eropah bagi membantu mengurangkan krisis tenaga susulan krisis di Ukraine. – Gambar fail EPA, 28 April, 2022.

KOREA Selatan bercadang menghantar sebahagian bekalan gas asli cecair (LNG) ke Eropah bagi membantu mengurangkan krisis tenaga susulan operasi ketenteraan Russia di Ukraine, menurut pegawai kerajaan.

Kebimbangan mengenai gangguan bekalan gas asli di Eropah meningkat di tengah-tengah krisis berterusan di Ukraine, berikutan Russia merupakan pembekal gas terbesar ke Eropah, lapor Agensi Berita Yonhap.

Semalam, pengeluar gas Russia Gazprom memaklumkan pihaknya menghentikan bekalan gas asli ke Poland dan Bulgaria selepas negara itu enggan membayar dalam mata wang rubel.

Korea Selatan memutuskan untuk membekalkan sebahagian daripada gas LNG ke Eropah, kata seorang pegawai kementerian industri.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran tentang bila dan jumlah yang ditawarkan Korea Selatan, tetapi penghantaran akan dibuat sebelum musim panas meskipun jumlahnya “tidak banyak”.

Keputusan itu dibuat atas permintaan Amerika Syarikat dan negara Eropah.

Pada Februari, Washington meminta sokongan gas Korea Selatan bagi bekalan di Eropah, tetapi Seoul menolak permintaan ketika itu, menurut laporan media.

Harga import gas asli Korea Selatan bernilai AS$1,013.35 satu tan pada akhir Mac, meningkat 20.08% berbanding bulan sebelumnya. – Bernama, 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen