Presiden Mesir ampunkan wartawan, lebih 3,000 banduan


Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi berkata pendidikan, kesihatan atau elektrik lebih penting daripada kebebasan berhimpun, yang hampir dilarang di negara ini. – Gambar AFP, 28 April, 2022.

PRESIDEN Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengampunkan seorang wartawan yang dipenjarakan kerana “menyebarkan berita palsu”, serta lebih 3,000 banduan, kata media tempatan dan pegawai pada Rabu.

Hossam Moniss, yang juga penyokong berhaluan kiri terkemuka, dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada November atas pertuduhan itu, yang sering dilemparkan terhadap penentang di Mesir.

Media tempatan melaporkan pengampunan Moniss pada Rabu, manakala Tarek al-Awady, seorang peguam dan ahli Jawatankuasa Pengampunan Presiden yang dibentuk semula baru-baru ini, menulis di Twitter “tahniah, Hossam Moniss telah diampunkan.”

Kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan kemudian berkata sebanyak 3,273 banduan yang disabitkan kesalahan dalam kes jenayah menerima pengampunan presiden.

Moniss ditangkap pada 2019 bersama beberapa tokoh pembangkang yang bersiap sedia untuk bertanding bagi “Hope Coalition” pada pilihan raya Parlimen 2020.

Mahkamah darurat mensabitkan kesalahan Moniss, bersama lima yang lain termasuk bekas ahli Parlimen Ziad el-Elaimy—seorang tokoh terkemuka dalam revolusi Mesir 2011 yang masih dipenjarakan—dipenjara antara tiga hingga lima tahun.

Amnesty International mengecam hukuman itu, mengatakan semua yang terlibat “tertakluk kepada beberapa pelanggaran hak asasi manusia” dan “seharusnya tidak patut ditangkap”.

Berita pengampunan beliau datang beberapa hari selepas 41 tahanan politik diarah dibebaskan daripada tahanan praperbicaraan, termasuk seorang lagi aktivis “Hope Coalition”, Hassan al-Barbary.

Pembela hak asasi manusia kerap mengecam rekod hak asasi manusia Mesir yang teruk sejak Sisi mengambil alih kuasa pada 2013.

Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan terdapat kira-kira 60,000 tahanan politik di Mesir.

Sisi melancarkan “strategi nasional” bagi hak asasi manusia pada September tahun lalu, menegaskan pendidikan, kesihatan atau elektrik lebih penting daripada kebebasan berhimpun, yang hampir dilarang di negara ini.

Pada November, Mesir akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak iklim COP27, satu langkah Human Rights Watch katanya sebagai “ganjaran” kepada “pemerintahan penindasan” Sisi. – AFP, 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen