Wabak salmonella berkaitan produk coklat menular di 11 negara


Penjujukan genetik bakteria salmonella dalam makanan mencetuskan kegusaran patogen berasal dari tangki susu mentega di kilang dikendalikan pembuat coklat Ferrero, di Arlon, Belgium. – Gambar EPA, 28 April, 2022.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan terdapat lebih 151 kes disyaki bakteria salmonellosis dikaitkan dengan produk coklat “Kinder” keluaran Belgium.

Menurut WHO dalam satu kenyataan, kes berkaitan bakteria Salmonella Typhimurium disyaki akibat penggunaan produk coklat dan dilaporkan di 11 negara setakat Isnin, termasuk Belgium, Perancis, Jerman, Ireland, Luxembourg, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden, United Kingdom dan Amerika Syarikat, lapor Xinhua.

Kanak-kanak di bawah umur 10 tahun turut terjejas dan golongan wanita mewakili 66% daripada kes dilaporkan.

Sebanyak 21 kes bergejala dilaporkan, iaitu 12 kes cirit-birit berdarah dan sembilan dimasukkan ke hospital.

Tiada kematian akibat wabak itu dilaporkan setakat Isnin.

Penjujukan genetik bakteria salmonella dalam makanan mencetuskan kegusaran patogen berasal dari tangki susu mentega di sebuah kilang yang dikendalikan pembuat coklat Ferrero, di bandar Arlon, Belgium.

Menurut WHO, strain wabak salmonella mempunyai daya tahan terhadap enam jenis antibiotik.

Sekurang-kurangnya 113 negara di seluruh Eropah dan global mengimport produk Kinder, dan amaran global dikeluarkan Rangkaian Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Antarabangsa (INFOSAN), program bersama WHO dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), pada 10 April mengakibatkan penarikan semula produk dari pasaran global.

WHO menilai risiko penyebaran di rantau Eropah dan global sebagai sederhana.

Menurut WHO, gejala salmonellosis agak ringan dan pesakit akan pulih tanpa rawatan khusus, dalam kebanyakan kes.

Bagaimanapun, risiko lebih tinggi untuk sesetengah kanak-kanak dan pesakit warga emas iaitu dehidrasi boleh menjadi semakin teruk dan mengancam nyawa. – Bernama, 28 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen