China pergiat pembinaan prasarana


Presiden China Xi Jinping berkata prasarana memainkan peranan amat penting untuk menyokong pembangunan sosioekonomi negara. – Gambar EPA, 27 April, 2022.

PRASARANA memainkan peranan amat penting untuk menyokong pembangunan sosioekonomi negara dan ia memerlukan asas yang kukuh bagi membina sistem prasarana moden secara menyeluruh, kata Presiden China Xi Jinping.

Justeru itu katanya pembangunan dan keselamatan perlu diselaraskan, di samping mengoptimumkan susun atur, struktur, fungsi dan mod pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat ke-11 Suruhanjaya Kewangan dan Ekonomi Pusat China pada Selasa.

Katanya, China berjaya melakar kecemerlangan dalam sektor kemudahan sains dan teknologi utama, projek tali air, hab pengangkutan, infrastruktur teknologi maklumat, dan rizab strategik negara, sehingga melonjakkan tahap prasarana tempatan.

“Bagaimanapun, prasarana di negara ini masih tidak boleh memenuhi keperluan pembangunan negara dan jaminan keselamatan pada masa ini,” katanya.

Selain itu,  mesyuarat turut bersetuju bahawa usaha memperkukuh pembinaan prasarana akan membawa makna signifikan termasuk menjamin keselamatan negara, melancarkan kitaran dalam negeri, menggalakkan kitaran domestik dan antarabangsa, merangsang permintaan domestik, dan menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi. – Bernama, 27 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen